Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Selepas berdepan kekecewaan pusingan ketiga di Austin, Amerika Syarikat apabila gagal mengutip sebarang mata, Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) berharap nasib berbeza akan dilalui di Grand Prix (GP) Sepanyol, Ahad ini.

Berbekalkan misi kembali mengutip mata, Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu bagaimanapun sedar tugas itu bukan mudah meskipun mengakui Litar Jerez bukan asing buat dirinya.

“Jerez litar yang sukar tapi saya sudah biasa beraksi, sama seperti trek lain. Kami mengadakan ujian rasmi awal tahun ini dan amat berpuas hati dengan keputusannya.

“Apapun saya tetap mengharapkan keputusan terbaik di sini,” katanya.

Hafizh buat kali pertama gagal mengutip mata di Austin selepas berdepan masalah tayar depan sekali gus menyaksikannya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.

Sementara itu, pengurus pasukan Barry Leong berkata, selepas tiga pusingan, dia dapat melihat Hafizh lebih konsisten.

“Keputusan untuk menaik taraf casis dan mengganti beberapa peralatan baru banyak membantu Hafizh di setiap perlumbaan disertainya.

“Seperti saya tegaskan sebelum ini, kami mahu memastikan Hafizh memperoleh kedudukan terbaik di sesi kelayakan bagi membolehkannya bersaing dengan kelompok depan pada perlumbaan sebenar,” katanya.

Selepas tiga pusingan, Hafizh menduduki tangga kesembilan keseluruhan dengan mengumpul 23 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:40 AM