Antara bintang AADC 2.
Antara bintang AADC 2.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Syarikat penerbitan Primeworks Studios mengumumkan pihaknya mendapat hak pengedaran bagi filem popular Indonesia, Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC 2) di Malaysia dan Brunei yang akan ditayangkan serentak bermula 28 April ini.

Pengurus Besar Pengedaran dan Inovasi, Primeworks Distribution Sdn Bhd Marini Ramlan berkata, pihaknya berbangga dan teruja apabila mendapat tawaran daripada syarikat 13 Entertainment yang menerbitkan filem itu di Indonesia.

Filem ini mempunyai sejarah tersendiri dan ramai yang ternanti-nantikannya. Saya rasa peminat AADC2 sudah tidak sabar menontonnya di pawagam," katanya.

Marini berkata, satu perkara yang membuatkan pihaknya bersetuju menerima tawaran itu ialah kerana peminat filem itu.

"Sebelum ini kami ada membuat kajian dan tinjauan dan mendapati ramai yang pernah menonton filem AADC yang pertama dulu dan amat menyukainya. Malah, selepas mendapat tahu penerbitan sekuel filem ini, mereka lebih seronok dan tak sabar.

"Semakin ramai juga yang berkongsi trailer filem AADC 2 selepas ia dilancarkan bulan lalu. Jadi, tidak ada sebab untuk kami menolak," katanya.

Marini berkata, tawaran itu juga satu-satunya peluang untuk Primeworks Studios bekerjasama dengan lebih banyak penerbitan di Indonesia selepas kali terakhir pada 10 tahun lalu.

Dalam pada itu, Primeworks Studios akan mengadakan malam gala filem ini pada 26 April ini. Pelakon utamanya Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra serta pengarah Riri Riza juga akan hadir.

Filem ini ialah kesinambungan daripada filem percintaan remaja kegemaran sepanjang zaman di Indonesia, Ada Apa Dengan Cinta? yang diterbitkan pada 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 6:15 PM