PENGUNJUNG melihat  lebih dekat pokok rock melon.
PENGUNJUNG melihat lebih dekat pokok rock melon.
KARRI (kiri)  menunjukkan buah rock melon .
KARRI (kiri) menunjukkan buah rock melon .
ZULKIFLI(kiri) menerangakan cara penanaman rock melon.
ZULKIFLI(kiri) menerangakan cara penanaman rock melon.
Noor Hidayah Tanzizi

Walaupun proses menanam dan penjagaan rock melon atau tembikai wangi dikatakan agak sukar serta membabitkan kos tinggi, ia mampu meraih pendapatan lumayan.

Menjadikannya sebagai cabang menambah pendapatan selain minat mendalam, Zulkifli Zakaria, 40, sanggup merebut peluang diberikan Jabatan Pertanian Perak dengan mengusahakan tanaman itu menggunakan kaedah fertigasi.

Menerusi Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lekir dekat Sitiawan, dia mengusahakan tanaman itu sejak tiga tahun lalu bersama rakannya Zukilfli Mohamad.

Hasilnya, mereka mampu meraih pendapatan RM4,000 sebulan.

Zulkifli berkata, tanaman rock melon memerlukan tahap kesabaran dan pengawasan tinggi serta rumit, namun ia mampu mengeluarkan hasil tiga kali setahun selepas setiap 75 hari penuaian.

Katanya, prasarana disediakan mampu menampung 1,000 pokok dalam satu masa dengan rumah pelindung seluas 0.06 hektar.

“Prosesnya agak rumit berbanding tanaman lain kerana ia memerlukan lebih pengawasan rapi terutama pada usia tanaman satu hingga 30 hari kerana ketika ini tanaman mudah rosak dan diserang penyakit.

“Pada hari ke-21, pokok mula berbunga dan bantuan pendebungaan dilakukan untuk menghasilkan buah.

“Paling lewat untuk melakukan proses itu sehingga ke hari ke-25 dan jika tidak melakukan pendebungaan tiada hasil yang akan dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Terbuka Rock Melon Lekir di Pusat Latihan Pertanian Lekir, Batu 9 Lekir, Sitiawan, baru-baru ini.

Menurut Zulkifli, sepokok rock melon yang ditanam di dalam pasu mampu berbuah sehingga tiga biji dan memerlukan sekurang-kurangnya dua liter air sehari membabitkan lima hingga enam kali penyiraman mengikut masa ditetapkan.

“Sebiji rock melon matang mempunyai berat anggaran satu hingga dua setengah kilogram (kg) dan dijual selepas mencapai bacaan kemanisan yang ditetapkan iaitu tahap 11 dengan menggunakan meter Brix.

“Bagaimanapun, masih ramai tidak mengenali buah ini, malah ada yang menyangka ia tembikai susu atau labu kerana tanaman ini tidak dikomersialkan di sesetengah tempat.

“Biarpun ada yang masih keliru antara rock melon dengan tembikai susu, jika anda merasainya pasti dapat membezakan antara dua buah ini kerana isi rock melon lebih ranggup berbanding tembikai susu, namun lembut dan manis,” katanya.

Beliau berkata, rock melon bukan sahaja sedap dimakan segar atau sejuk sebagai pencuci mulut, malah sesuai dijadikan jus atau kek.

“Saya harap dapat meluaskan tanaman rock melon dan memasarkannya ke seluruh Malaysia,” kata bekas pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian Daerah merangkap penyelia projek Karri Qisti berkata, sehingga kini TKPM sudah melahirkan 23 usahawan dalam pelbagai tanaman termasuk lima usahawan rock melon sejak diperkenalkan pada tahun 2008 secara berperingkat.

Menurutnya, Jabatan Pertanian menyediakan tapak dan kemudahan infrastruktur seperti 30 unit rumah pelindung dan jalan ladang selain memberikan panduan dan maklumat, manakala peserta perlu menyediakan modal pusingan termasuk perbelanjaan dan penyelenggaraan.

“Ini insiatif jabatan untuk membuka peluang dan melahirkan usahawan dalam bidang pertanian dan memperbesarkan industri fertigasi di daerah ini.

“Ia bagi memastikan hasil tanaman dikeluarkan secara berterusan dan konsisten dengan hasil berkualiti dan selamat dimakan, malah kami mempunyai pengiktirafan daripada MyGAP.

“Rock melon dijual RM5 sekilogram dan ia lebih rendah daripada harga pasaran. Program hari terbuka ini bertujuan mendedahkan orang ramai dengan tanaman rock melon dan mengetengahkan jualan buah segar terus dari ladang,” katanya.

Katanya, buah itu bukan hanya dipasarkan di daerah itu, malah di beberapa negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 11:35 AM