ROS Syafiqah.
ROS Syafiqah.
ANTARA detik indah ketika menyelam skuba.
ANTARA detik indah ketika menyelam skuba.
CANTIK dan menakjubkan, antara kehidupan dasar laut yang dirakam penyelam skuba ini.
CANTIK dan menakjubkan, antara kehidupan dasar laut yang dirakam penyelam skuba ini.
ANTARA detik indah ketika menyelam skuba.
ANTARA detik indah ketika menyelam skuba.
myMetro

Terlalu cantik sehingga tidak mampu digambarkan dengan kata-kata menyebabkan hatinya terpaut dalam menikmati kekuasaan Yang Maha Esa.

Terpegun dengan keindahan kehidupan dasar laut ketika kali pertama mengikuti ibu tersayang menyelam di dasar laut di Pulau Redang,Terengganu menjadi detik permulaan wanita ini menjadikan selam skuba sebagai hobi kegemaran.

Tidak ada rasa takut namun dia amat teruja untuk mencuba aktiviti menarik itu sehingga menjadikan ia antara aktiviti kegemarannya hingga kini.

Ros Syafiqah Roslan, 27, yang berasal dari Cheras, Selangor berkata, dia mula diperkenalkan dengan aktiviti selam skuba sejak di bangku sekolah apabila sering mengikuti ibunya yang turut meminati hobi sama.

“Pastinya ibu yang menjadi sumber inspirasi saya dalam bidang ini dan saya akui amat meminati keindahan kehidupan marin yang pelik dan sukar ditemui.

“Saya mula menyelam ketika berada di bangku sekolah menengah sebelum semakin serius dalam hobi ini kerana kerap menyelam bersama ibu,” katanya.

Ros Syafiqah yang kini seorang suri rumah turut mengakui, dia sering kali menyelam skuba bukan saja di perairan negara malah di perairan negara jiran antaranya di Indonesia, Thailand dan Filipina.

“Bagi saya, selam skuba membolehkan saya meneroka kehidupan marin yang sangat cantik dan berwarna- warni.

“Saya juga mempelajari mengenai kepentingan hidupan laut selain dapat melihat sendiri kebesaran serta kekuasan Tuhan melalui keindahan itu,” ujarnya.

Menurut Ros Syafiqah yang kini sudah berjaya mencapai tahap penyelam penyelamat dalam skuba, ibu tersayang sentiasa memberi semangat kepadanya untuk mencapai tahap yang lebih tinggi selain teknik yang lebih bagus.

“Syukur, suami juga tidak menghalang saya untuk melakukan aktiviti selam skuba ini memandangkan dia sememangnya tahu ini hobi utama saya.

“Saya kini menyelam tanpa mengira masa kerana asalkan ada peluang dan kelapangan, saya terus melakukannya tanpa perlu berfikir panjang,” katanya.

Tambahnya, pastinya setiap individu mempunyai hobi tersendiri yang dapat dilakukan untuk menggembirakan hati selain melegakan tekanan.

“Selam skuba mampu menggembirakan hati saya dan melegakan segala masalah serta tekanan dialami terutama dalam rutin harian.

“Saya puas dan gembira setiap kali menyelam kerana ia juga sudah menjadi sebahagian besar dalam kehidupan harian saya,”katanya.

Ros Syafiqah amat gembira kerana mencapai tahap penyelam penyelamat selepas berjaya melepasi tahap ditetapkan dalam selam skuba.

“Saya sesekali tidak akan berhenti daripada meneruskan hobi menarik ini kerana ia memberi pelbagai kenangan manis yang tidak dapat dijual beli.

“Saya juga amat menggalakkan mana-mana individu terutama wanita yang mahu berjinak-jinak dalam selam skuba ini untuk sama-sama merasai keseronokan ketika menyelam di dasar laut,” ujarnya.

Tambahnya, selam skuba memberikan satu ketenangan dan keajaiban luar biasa yang sangat sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Saya tidak sesekali lekok ilmu dan pastinya akan berkongsi ilmu serta pengalaman yang ada dengan individu yang mahu melakukan aktiviti ini.

“Beranikan diri dan belajar teknik yang betul bagi memastikan dapat merasai kenikmatan sebenar selam skuba ini,” ujarnya mengakhiri bicara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 11:28 AM