SET Ambuyat dengan keunikan rasa yang tersendiri.
SET Ambuyat dengan keunikan rasa yang tersendiri.
Suliati Asri


Namanya mungkin pelik dan asing untuk sesetengah orang, tetapi bagi masyarakat Sabah, Sarawak dan Brunei, ambuyat adalah makanan tradisi yang cukup menyelerakan.

Tepung sagu yang pekat di cedok menggunakan cantas atau kayu sepit, kemudian dicecah pula dengan kuah ikan rebus dan belacan kemudian terus ditelan nyata memberikan satu nikmat yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Menjadi hidangan seisi keluarga di rumah, menu ini tidak disajikan di restoran kecuali di Restoran Pak Man Resipi.

Namun, bagi anda yang teringin merasai sendiri keenakan dan keunikan rasa ambuyat ini, kunjungan ke restoran itu yang terletak di Sadong Jaya, Jalan Karamungsing, Kota Kinabalu, Sabah ini pastinya tidak mengecewakan.

Dibuka setiap Isnin hingga Sabtu bermula 7 pagi hingga 7 malam, Set Ambuyat ini antara menu utama yang disajikan di Pak Man Resipi.

Dijadikan sebagai satu hidangan utama di restorannya, pemilik Pak Man Resipi, Datin Seri Madzanah@Yoshe Md Shauddin berkata, ambuyat ini adalah hidangan autentik di Sabah dan ia biasanya disajikan di rumah.

Oleh yang demikian, dengan menghidangkannya di restoran, sesiapa saja boleh mencubanya termasuk pelancong tempatan mahu pun luar negara.

“Ambuyat ini adalah makanan autentik di Sabah selain susah diperoleh di mana-mana restoran dan proses penyediaannya juga agak rumit.

“Jadi, dengan adanya Set Ambuyat ini, pengunjung bukan saja boleh menikmati keenakan dan keunikan rasanya bila-bila masa, tetapi juga tidak perlu bersusah payah ke dapur untuk membuat hidangan menyelerakan ini,” katanya.

Di Pak Man Resipi ini, Set Ambuyat ini boleh dinikmati beramai-ramai antara empat, enam hingga lapan orang mengikut set yang dipilih.

Menerusi Set Ambuyat ini, anda turut disajikan dengan sagu, ikan goreng ala kampung, lima jenis ulam, dua jenis sambal belacan yang dibuat sendiri, sup ikan atau lebih dikenali sebagai ampap ikan, ikan rebus tomato, jeruk bambangan dan kangkung belacan ikan bilis.

Selain rasanya, cara menikmati hidangan ini juga cukup unik. Candas digunakan untuk mengambil sagu yang pekat sebelum dicicah dengan pencicahnya kemudian ditelan begitu saja.

Kuah sup ikan juga sangat sedap dihirup begitu saja.

Selain Set Ambuyat, Pak Man Resipi turut menyediakan satu lagi hidangan istimewa iaitu Set Nostalgia Putu.

Menerusi set ini, pengunjung boleh menikmati keenakan putu yang diperbuat daripada ubi kayu yang dilenyek sebelum dibentuk seperti lemang dan distim.

Hidangan yang disajikan dalam talam bersesuaian dengan namanya itu turut disajikan bersama beberapa hidangan lain iaitu sagol pari, hinava, ulam rumpai, ikan bakar dan mangga muda.

“Penyediaan hidangan ini dalam talam kerana sejak dulu ia dihidangkan sebegini rupa. Bukan saja mengembalikan nostalgia, tapi turut mengekalkan tradisi lama supaya tidak lapuk ditelan zaman,” kata Madzanah.

Hidangan tomyam kelapa yang menggunakan air kelapa sebagai kuah, sup ‘gear box’ dan pencuci mulut sago mangga juga antara yang cukup istimewa di sini.

Ingin makanan yang ringkas, tetapi menyelerakan, dim mum serta sushi yang pastinya halal adalah hidangan sesuai buat anda.

Bagi anda yang ingin menikmati sendiri keenakan dan keunikan rasa yang disajikan di Pak Man Resipi ini, terdapat tiga cawangan di sekitar Kota Kinabalu yang boleh dikunjungi. Untuk maklumat lanjut juga anda boleh layari laman web www.pakmanresipi.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 2:04 PM