Sebahagian daripada 21 lelaki yang ditahan kerana cuba menyeludup ratusan kilogram dadah menggunakan kereta api dari Thailand ke Malaysia, dua minggu lalu. - Foto FAIL/Agensi
Sebahagian daripada 21 lelaki yang ditahan kerana cuba menyeludup ratusan kilogram dadah menggunakan kereta api dari Thailand ke Malaysia, dua minggu lalu. - Foto FAIL/Agensi
BERNAMA

Bangkok: Pihak berkuasa Thailand mendedahkan cubaan menyeludup sejumlah besar dadah ke Malaysia dua minggu lalu, didalangi tiga lelaki rakyat Malaysia.

Mereka merancang cubaan menyeludup 226 kilogram (kg) dadah jenis "Ice" dan lapan kilogram heroin oleh sekumpulan 21 'keldai dadah' ke Malaysia dengan penuh teliti bagi memastikan pergerakan mereka tidak dikesan pihak berkuasa Thailand dan Malaysia.

Dalam temuramah dengan Bernama, Kolonel Polis Puttidej Bunkrapue dari Polis Keretapi Thailand berkata, ketiga-ketiga dalang sindiket itu yang dikenali dengan huruf "K", "L" dan "C" dapat meloloskan diri pada saat akhir.

"Kami (Polis Thailand) memiliki segala bukti dalang itu daripada imej kamera litar tertutup hotel penginapan mereka, kereta sewa dan lain-lain," katanya.

Polis Thailand menganggarkan nilai dadah itu bakal mencecah kira-kira RM400 juta (4 bilion baht) apabila memasuki pasaran gelap di Eropah.

Puttidej berkata ketiga-tiga dalang itu sudah lebih 30 kali memasuki Thailand berdasarkan maklumat Jabatan Imigresen negara itu yang menunjukkan mereka berpengalaman dalam urusan haram itu.

Polis Keretapi Thailand adalah agensi utama menyiasat kes itu kerana jenayah berkenaan berlaku di laluan kereta api dan mereka yang bertanggungjawab memberkas kesemua 21 "keldai dadah" rakyat Malaysia itu.

Menurut Puttidej, Polis Thailand menyerahkan maklumat ketiga-tiga dalang itu kepada Bukit Aman bagi membantu usaha memburu mereka di Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mokhtar Mohd Shariff berada di Bangkok baru-baru ini.

Puttidej berkata sebagai perancang utama kepada kumpulan besar "keldai dadah" rakyat Malaysia itu, ketiga-tiga lelaki terbabit pergi ke Chiang Mai lebih awal bagi melaksanakan urusan pembelian dadah itu menggunakan jalan udara dari Kuala Lumpur.

Selesai urusan pembelian dadah di Chiang Mai, mereka bertiga menaiki kapal terbang ke Hatyai, di selatan Thai menunggu bekalan dadah dibawa kumpulan "keldai dadah" rakyat Malaysia itu menggunakan kereta api.

Bekalan dadah kemudiannya dipunggah ke stesen kereta api Chiang Mai dalam puluhan beg pikul untuk dibawa "keldai dadah" terbabit untuk perjalanan selama

12 jam ke stesen kereta api Hualamphong di Bangkok sebelum ke Hatyai.

Tiga dalang itu menunggu di Hatyai bersama beberapa kereta bagi menyeludup dadah masuk ke Malaysia menggunakan jalan darat.

Seramai 15 pembawa dadah ditahan di di stesen kereta api Hua Hin, Ratchaburi dan Prachuabkirikan manakala enam lagi diberkas dalam sebuah van di Phattalung dalam perjalanan ke sempadan Malaysia selepas meninggalkan bekalan dadah mereka di stesen keretapi Chumphon, Surat Thani.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 4:00 PM