Khairul Idham meraikan kejayaan bersama pasukannya. FOTO AFP
Khairul Idham meraikan kejayaan bersama pasukannya. FOTO AFP
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Memang betul-betul saya tak menjangka akan mendapat tempat yang pertama sebab di kejohanan dunia ini memang semuanya susah, tiada yang senang.

"Tapi saya bersyukur, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar."

Itu kata rakyat Malaysia pertama merangkul Kejuaraan Motosikal Dunia, Khairul Idham Pawi, 17, yang mengungguli saingan Moto3 Grand Prix Argentina semalam.

Seluruh rakyat Malaysia turut berbangga dengan kejayaan anak muda ini yang mempamerkan tunggangan bergaya apabila mendominasi saingan sejak awal walaupun bermula di petak ketujuh.

"Pada perlumbaan semalam saya tidak menjangkakan boleh mendapatkan kedudukan pertama tetapi sebelum perlumbaan saya sudah berfikir untuk berada di hadapan dan cuba mendapatkan kedudukan yang terbaik ketika bersaing dengan pelumba-pelumba yang lain," katanya ketika dihubungi di sini, awal pagi tadi.

Dia turut mengakui berasa sedih ketika mendengar lagu Negaraku berkumandang di Litar Termas de Rio Hondo.

"Saya rasa agak sedih, tetapi saya tahan," katanya yang mewakili Honda Team Asia.

Dia ketika ini sudah berada di Austin, Texas untuk saingan pusingan ketiga Grand Prix America yang akan bermula pada 8 April ini.

Khairul Idham berkata, dia mendedikasikan kemenangan ini kepada semua pihak yang menyokongnya selama ini.

"Terima kasih kepada pasukan saya dan juga kawan-kawan, ibu bapa yang mendoakan kejayaan saya selama ini dan juga kepada Malaysia. Terima kasih banyak-banyak.

"Saya akan lakukan yang terbaik dan harap semua mendoakan kejayaan saya pada perlumbaan akan datang minggu hadapan," katanya.

Khairul Idham melakar sejarah negara selepas mengatasi Estrella Galicia 0,0, Jorge Navarro dari Sepanyol dengan kelebihan 26 saat dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder.

Khairul Idham mencatat 41 minit 35.452 saat dalam saingan 21 pusingan itu untuk menduduki tangga keempat keseluruhan dengan 25 mata.

Rakan senegara, Adam Norrodin, 17, dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team pula menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit kemalangan pada lap terakhir.

Semangat juangnya dengan menolak motosikal sehingga ke garisan penamat mendapat pujian orang ramai di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 9:02 AM