Seramai 54 penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP), Bandar Seri Iskandar, Perak hari ini menjayakan projek UTP Glow Run 2014 melalui Projek Master Rev Up anjuran Revive.

Wakil kumpulan Epic Glow, Adibah Shahrum berkata, idea ini tercetus selepas melihat sekumpulan anak muda berlari dengan memakai baju warna terang ketika lawatannya ke Singapura, baru-baru ini. Melihat situasi itu sekali gus memberi gambaran baru kepadanya dalam menyuntik kreativiti lebih segar dalam aktiviti maraton.

"Program hari ini bukanlah hanya berkisar mengenai larian dengan pemakaian warna terang tapi warna-warna ini turut memancarkan cahaya. Memandangkan ia diadakan pada waktu malam, kami turut adakan slot halangan dalam gelap bagi mencapai idea asal projek.

"Bukan itu saja, hiburan juga diselitkan dengan penganjuran mini konsert membabitkan persembahan daripada band dalam kampus," katanya.

Adibah berkata, sebagai pelajar yang masih kurang pengalaman menganjurkan acara, ternyata cabaran merealisasikan projek ini bukannya mudah. Katanya, antara cabaran terbesar adalah untuk mencari peralatan 'glow-in-the-dark' dalam bajet yang diperuntukkan kerana harganya bukanlah murah.

"Projek hari ini tak akan berjaya tanpa usaha gigih semua pihak khususnya ahli kumpulan yang sentiasa berusaha untuk menyelesaikan apa saja cabaran. Saya akui, peluang diberikan ini adalah pengalaman berharga buat kami semua.

"Untuk program hari ini, ia pasti menjanjikan keseronokan dan kelainan kepada peserta kerana konsep 'glow in the dark' jarang diketengahkan dalam aktiviti maraton." katanya.

Projek Revive Master anjuran Revive ini adalah usaha syarikat itu (Revive) dalam memberi peluang kepada penuntut institusi pengajian tinggi merealisasikan impian mereka melalui pelaksanaan projek. Kreativiti mereka digarap selain susun atur dikendalikan sendiri dari peringkat awal hingga akhir.

Selain membentuk pelajar untuk berkomunikasi lebih cekap dalam kumpulan, peluang ini juga membuka ruang kepada mereka untuk berkongsi idea segar selain mempersiapkan diri menempuh dunia pekerjaan sebenar selepas tamat pengajian kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:11 AM