MORGAN (kiri) beri tiga mata penting buat Leicester.
MORGAN (kiri) beri tiga mata penting buat Leicester.
AFP

Leicester, England: Kapten Leicester City Wes Morgan menjaringkan gol pertamanya dalam tempoh setahun ketika skuad pemburu impian Liga Perdana Inggeris menewaskan Southampton 1-0 malam tadi untuk terus kukuh mendahului dengan tujuh mata.

Keputusan seri Tottenham Hotspur 1-1 dengan Liverpool kelmarin memberikan peluang buat anak buah Claudio Ranieri untuk terus mengukuhkan cengkaman mereka dipuncak dan mereka berjaya mendapatkannya menerusi tandukan Morgan pada minit ke-38.

Ia kemenangan 1-0 kelima dalam enam perlawanan dan dengan baki enam perlawanan musim ini, peluang untuk menjulang gelaran liga utama dalam tempoh 132 tahun semakin hampir.

Skuad Midlands timur itu berada di tangga tercorot setahun lalu namun hanya memerlukan 12 daripada 18 mata untuk melengkapkan satu daripada sejarah kejayaan bola sepak daripada kelab yang sebelumnya kurang diberi perhatian.

Southampton kendalian Ronald Koeman, yang dua kali rayuan penalti akibat terkena tangan ditolak, kekal di tangga ketujuh dan berdepan laluan sukar untuk ke Liga Europa.

Pengerusi Leicester Vichai Srivaddhanaprabha memberikan donut dan bir percuma sempena hari lahirnya dan skaf ‘Leicester City Champions 2016’ dijual sepanjang laluan ke stadium, menjadikan suasana di Stadium King Power bagaikan pesta.

Dalam usaha menghalang gandingan penyerang Leicester Jamie Vardy dan Shinji Okazaki, Southampton meletakkan tiga pemain di bahagian pertahanan dan biarpun skuad tuan rumah menjaringkan gol awal, peluang lebih cerah memihak kepada pelawat.

Peluang terbaik mereka hadir menerusi Graziano Pelle yang memberi ruang buat Sadio Mane, yang berjaya memperdayakan Kasper Schmeichel sebelum merembat namun bola terkena lengan kanan Danny Simpson sewaktu cuba menghadang gol yang terbuka luas.

Southampton membuat rayuan penalti tetapi lengan bek kanan itu berada rapat dengan badannya jadi pengadil Michael Oliver mengarahkan supaya permainan diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 9:00 AM