Oleh Hartini Mohd Nawi


Segalanya mengenai persekitaran segar dan landskap semula jadi yang memberikan alternatif kepada sesiapa saja untuk menikmati pengalaman berbeza.

Suasana penuh terapi itu menjadi latar utama Rumah Pavilion Johor sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2014 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang, Selangor.

Rumah pavilion itu dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dengan latar semula jadinya itu, pengunjung pastinya tidak melepaskan peluang untuk meninjau dan memanfaatkan setiap elemen ditawarkan.

Menurut pakar landskapnya, Datuk Baharudin Abdul Basir, perancangan teliti untuk binaan landskap sempurna dan berbeza daripada biasa cuba diketengahkan.

"Kali ini Rumah Pavilion Negeri Johor cuba berkongsi idea binaan landskap bertemakan Jom Bertani dengan reka letak dan pilihan tanaman sesuai.

"Laman Tebrau menawarkan pemandangan indah sebuah taman dilengkapi tiga elemen air berpancuran dengan ikan hiasan, sekali gus memperlihatkan ekosistem semula jadi.

"Sementara Laman Dapur yang dilengkapi pelbagai sayuran segar termasuk bendi, terung, bayam dan kubis ternyata memberikan idea binaan untuk kegunaan harian," katanya.

Dalam menzahirkan semua idea hijau dengan persekitaran segar itu, sebanyak 75 peratus tanaman berasaskan sayuran.

Sementara 25 peratus lagi diserikan dengan pelbagai bungaan hiasan termasuk orkid, ati-ati dan bunga butang yang begitu sinonim dengan negeri berkenaan.

Agro Pharmacy

Nama Kulim Nursery Sdn Bhd (KNSB) juga antara yang turut terbabit dengan binaan landskap di Rumah Pavilion Johor itu.

Bukan sekadar membekalkan pelbagai jenis sayuran dan pokok hiasan, malah penggunaan medium tanaman sesuai turut dikongsikan.

Menariknya Agro Pharmacy memberi peluang kepada sesiapa saja mengenali lebih dekat manfaat baja terutama berjenama Bionik keluaran KNSB.

Kelebihan baja Bionik ialah strukturnya berbentuk granul, mudah digunakan dan tidak mudah larut.

Ia lebih kepada baja pelepasan perlahan. Selain itu, ia ditambah nilai untuk kadar nutrien lebih tinggi mengikut pengkhususan pokok berbanding baja biokompos biasa.

Ada empat jenis baja Bionik di pasaran iaitu Bionik organik, Bionik nurseri (khusus untuk tanaman landskap), Bionik sayuran (tanaman kecil) dan Bionik khusus untuk rumput.

Menerusi Rumah Pavilion Johor itu, sekurang-kurangnya pengunjung melihat sendiri penggunaan baja Bionik pada semua tanaman, sama ada sayuran atau pokok hiasan yang segar.

Bagi memberi kefahaman menyeluruh, khidmat nasihat teknik menanam dan penggunaan betul baja Bionik turut disediakan, apatah lagi setiap tanaman di rumah pavilion itu diletakkan maklumat ringkas mengenai nama saintifik dan kegunaannya.

Lebih membanggakan KNSB turut diberi kepercayaan untuk mengadakan pameran dan jualan produk dari Johor di Agro Pharmacy itu.

Berminat dengan baja Bionik, sila ke ruang Agro Pharmacy atau layari: www.kulimnursery.com dan Facebook: Kulimnursery untuk sebarang ketenangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:00 AM