BMW yang terbakar menyebabkan pemandunya rentung. FOTO ihsan PDRM
BMW yang terbakar menyebabkan pemandunya rentung. FOTO ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: Lelaki dipercayai mabuk yang tidur di dalam kereta, rentung selepas keretanya tiba-tiba terbakar di lorong Touch n Go, Plaza Tol Lebuhraya Sprint Damansara, berdekatan Hotel Eastin, di sini, kira-kira 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya menerima panggilan awam yang memaklumkan kereta model BMW terbakar.

Katanya, pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

"Menurut maklumat daripada pekerja tol itu, kereta terbabit dilihat berhenti di lorong tol Touch and Go pada 4 pagi. Pemandunya adalah seorang lelaki dipercayai mabuk dan terus tidur di kerusi penumpang depan selepas berhenti di situ.

"Pekerja terbabit cuba mengejutkan lelaki berkenaan tetapi pintu kereta berkunci dan cermin tertutup rapat serta keadaan enjin masih hidup.

"Kira-kira sejam kemudian kenderaan berkenaan tiba-tiba terbakar bermula dari bahagian enjin dan lelaki terbabit ditemui rentung," katanya.

Mohd Zani berkata, semakan terhadap rekod daftar kenderaan mendapati kereta itu didaftarkan atas nama Ng Leong dan Soon Man beralamat di Taman Canning, Perak.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:30 AM