Ahmad Jazlan (kiri) bersama Wan Mohd Nor (kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali (tengah) menanam pokok sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah NBOS di Kampung Lepah, Selising. FOTO Syamsi Suhaimi
Ahmad Jazlan (kiri) bersama Wan Mohd Nor (kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifli Ali (tengah) menanam pokok sempena Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah NBOS di Kampung Lepah, Selising. FOTO Syamsi Suhaimi
Ismail Muhamad


Pasir Puteh: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima purata sebanyak 5,000 panggilan sebulan berkaitan kebakaran di seluruh negara kesan cuaca panas berikutan fenomena El Nino.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, jumlah panggilan yang direkod pihaknya itu membabitkan kebakaran hutan dan kediaman didapati meningkat berbanding purata antara 2,000 atau 3,000 panggilan sebulan bagi hari biasa.

"Fenomena El Nino itu memberi kesan kepada beberapa negeri antaranya di utara negara ini seperti Kedah, Perlis selain Kelantan, utara Perak serta bahagian Miri Sarawak dan Sabah.

"Purata panggilan yang diterima adalah antara 200 atau 300 sehari dengan Kedah mencatatkan sebanyak 70 atau 100 panggilan sehari kesan cuaca panas sekarang berikutan kesan fenomena El-Nino sekarang," katanya selepas Majlis penyerahan kunci rumah Projek pembinaan semula rumah terbakar Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Kampung Lepah, Selising di sini, tadi.

Sebelum itu, beliau menyaksikan penyerahan kunci rumah berharga RM40,000 yang disampaikan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kepada ibu tunggal empat anak, Zaira Zakaria,39.

Projek pembinaan rumah baru kepada Zaira itu dilaksanakan sepenuhnya oleh anggota bomba sebagai ganti rumah lamanya yang musnah dalam kebakaran pada 18 Mei 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 6:06 PM