FADHLINA (depan, tiga kanan) bergambar bersama warga pendidik selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kedah. FOTO Noorazura Abdul Rahman
FADHLINA (depan, tiga kanan) bergambar bersama warga pendidik selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kedah. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menasihatkan guru dan ibu bapa memantau keadaan anak mereka ketika berdepan cuaca panas akibat daripada fenomena El Nino.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, sesi persekolahan yang berbaki beberapa hari lagi tetap akan diteruskan seperti biasa dengan pemantauan kementerian dari semasa ke semasa.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan saya mohon untuk ibu bapa dan guru dalam masa empat hari berbaki dan seterusnya apabila cuti sekolah ini mesti pantaulah keadaan anak.

"Jangan lupa minum air, pantau kesihatan anak, Insya-Allah tak ada apa-apa, sikit lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, KPM mempunyai garis panduan berkaitan fenomena cuaca negara dan akan memberi peringatan dan nasihat mengikut keadaan semasa di peringkat sekolah khususnya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) semalam mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga di tiga kawasan di Kedah iaitu adalah Pokok Sena, Pendang dan Baling.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 2:45 PM