ANTARA wanita yang mengikut kempen kesedaran kanser payu dara anjuran Shokubutsu dan NCSM.
ANTARA wanita yang mengikut kempen kesedaran kanser payu dara anjuran Shokubutsu dan NCSM.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Kanser payu dara bukanlah penyakit yang baru dikesan di dunia, namun ia tetap menjadi kebimbangan paling utama setiap wanita kerana sesiapa saja mempunyai risiko menghidap penyakit pembunuh nombor satu wanita itu.

Hakikatnya, lebih awal kanser itu dikesan lebih besar peluang rawatannya berjaya dan pesakit mampu meneruskan kehidupan sama seperti individu sihat lain.

Ramai wanita yang mempunyai kesedaran mengenai penyakit itu, namun jumlah individu yang bertindak dalam menangani penyakit terbabit amat rendah dan membimbangkan.

Pemeriksaan sendiri payu dara antara kaedah yang sa­ngat mudah, penting serta berkesan bagi mengesan penyakit itu pada peringkat awal.

Suri rumah dikenali sebagai Julia, 35, melawat satu pameran anjuran Shokubutsu mengenai kesedaran kanser payu dara ketika mengunjungi sebuah pasar raya berhampiran rumahnya di ibu kota.

Selepas mengikut semua langkah yang dipelajari ketika kempen itu, Julia mendapati terdapat ketulan pada payu daranya menyebabkan dia segera mendapatkan maklumat serta rawatan diperlukan.

Kisah Julia itu mungkin terjadi pada setiap seorang daripada 20 wanita di Malaysia yang menjadi nisbah penyakit kanser payu dara ini.

Dalam kempen anjuran Shokubutsu dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu, Julia bukan satu-satunya wanita yang mengesan ketulan pada payu dara selepas kempen kesedaran pemeriksaan sendiri payu dara semasa mandi.

Lima wanita lain juga mengesan ketulan pada payu dara selepas melakukan pemeriksaan sendiri payu dara semasa mandi.

Menurut Pengurus Pemasaran Jabatan Produk Penjagaan Diri Southern Lion Sdn Bhd, Jackie Low, kebanyakan wanita kebiasaannya tidak mempunyai masa untuk melakukan tindakan yang boleh menyelamatkan nyawa mereka.

“Disebabkan itu, kami bersama NCSM menggalakkan setiap wanita melakukan pemeriksaan payu dara sendiri semasa mandi setiap hari.

“Ia boleh dijadikan rutin harian tanpa mengeluarkan tenaga atau wang namun tindakan itu boleh mengubah masa depan,” katanya.

Menurutnya, enam kes wanita yang berjaya mengesan ketulan pada payu dara sepanjang kempen dijalankan itu menyebabkan pihaknya komited untuk meneruskan kempen terbabit.

Sehubungan itu, Shokubutsu baru-baru ini menganjurkan sesi pendidikan untuk mengajar wanita dalam kakitangannya melakukan pemeriksaan sendiri payu dara di syarikatnya di Johor Bahru, Johor.

Ceramah dan demonstrasi yang dihadiri kira-kira 45 wanita itu diketuai Ketua Klinik Saringan Kanser & Pemeriksaan Kesihatan NCSM Dr Dalilah Kamaruddin.

Pada majlis sama, Shokubutsu menyampaikan cek berjumlah RM25,000 kepada NCSM untuk menyokong aktiviti organisasi terbabit.

Menurut Dr Dalilah, dia berharap lebih ramai wanita komited untuk melakukan pemeriksaan sendiri payu dara semasa mandi untuk pengesanan awal.

“Ia boleh mengurangkan kesakitan kepada pesakit dan tidak menyusahkan hati keluarga sekali gus mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Dalam pada itu, NCSM turut mengikuti perkembangan Julia dan lima wanita yang mengesan ketulan pada payu dara dari semasa ke semasa dari segi perubatan dan psikologi

Untuk langkah pemeriksaan sendiri payu dara, sila layari www.facebook.com/ShokubutsuMalaysia atau lawati mana-mana pusat NCSM di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 5:32 AM