Ridzuan Abdul Rahman


Shah Alam: Pelawak, pengacara dan pelakon Jihan Muse, 33, sah bergelar isteri kepada pasangannya yang juga pelakon Ungku Hariz Faizal Ungku Mohamed Fadli, 31, dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Laman Kayangan, di sini, petang tadi.

Pasangan itu dinikahkan bapa Jihan, Musa Abdul Aziz, 61, bersaksikan Pendaftar Kanan Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Muhamad Sujak Muhamad Dasuki pada 3.22 petang.

Dalam majlis itu, Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa menerima mas kahwin sebanyak RM300 manakala jumlah hantaran dirahsiakan.

Majlis pernikahan pasangan selebriti ini dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat.

Jihan ketika ditemui berkata, dia bersyukur dan teruja kerana hubungan yang terjalin sejak tahun 2007 akhirnya bersatu sebagai suami isteri.

“Saya bersyukur dan gembira kerana semuanya berjalan dengan lancar walaupun persiapan dilakukan pada saat-saat akhir kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.

“Saya berharap perkahwinan ini akan berkekalan ke akhir hayat kami dan diberkati. Walaupun sudah lama berkawan, tetapi masih banyak perkara yang perlu kami pelajari selepas berkahwin.

“Kami percaya tolak ansur dan musyawarah sangat penting dalam setiap perkara yang kami lakukan,” katanya.

Pada majlis itu, pasangan pengantin memakai busana rekaan Rizman Ruzaini dan solekan oleh Saidatul Nisa dan Bosco Ryzal.

Sementara itu, majlis persandingan yang bertemakan klasik akan diadakan di Menara NAZA TTDI, di sini, Ahad depan.

Terdahulu, majlis berinai berlangsung dengan meriah di Laman Qaseh, Gombak, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 3:46 PM
HARIZ ketika dinikahkan. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
HARIZ ketika dinikahkan. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
Jihan mengaminkan doa yg dibacakan. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
Jihan mengaminkan doa yg dibacakan. FOTO Ridzuan Abdul Rahman