Antara tukang urut yang ditahan.
Antara tukang urut yang ditahan.
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Seramai 80 tukang urut wanita warga asing ditahan dalam operasi serbuan Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) di lapan lokasi berasingan sekitar ibu negara, awal pagi tadi.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, dalam operasi yang dijalankan selama enam jam berakhir jam 1 pagi tadi itu, turut menahan 16 penjaga premis dan enam orang pelanggan.

Katanya, antara kawasan serbuan adalah Bandar Mahkota Cheras, Cheras Maju, Jalan Kuchai Lama, Kuchai Entreprenuer Park, Taman Usahawan dan Laman Rimbunan, Kepong.

"Dalam serbuan itu, kita menahan 66 wanita warga Vietnam, tujuh Indonesia, masing-masing tiga wanita Thailand dan Filipina serta seorang wanita China.

"Semua yang ditahan berusia lingkungan usia 23 hingga 35 tahun,"katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Khairi, semua pusat urut itu dikesan menawarkan urut badan ke badan (B2B)dan perkhidmatan seks dengan kadar bayaran RM150 setiap sesi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55(B) Akta Imigresen, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Seksyen 372A dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 3:46 PM