ERICSSON menjangka langganan telefon pintar di Malaysia meningkat kira-kira 10 peratus dalam enam bulan akan datang selepas satu kajian mendapati jumlah penggunanya meningkat ketara.

Presiden Ericsson bagi Malaysia dan Sri Lanka, Todd Ashton, berkata peningkatan itu berkait rapat dengan aplikasi media sosial dan perkhidmatan pesanan segera seperti Facebook, WhatsApp dan YouTube.

“Telefon pintar sudah menjadi peralatan penting bagi mengakses perkhidmatan dalam talian terutama disebabkan lebih ramai pengguna di kawasan bandar melanggan perkhidmatan data mudah alih,” katanya pada taklimat media ‘Laporan Mobiliti Ericsson’, di sini.

Ashton berkata, kajian Ericsson ConsumerLab menunjukkan 60 peratus pengguna Internet harian di Asia Tenggara dan Oceania memiliki sekurang-kurangnya dua akaun rangkaian sosial manakala 67 peratus menggunakan lebih daripada dua aplikasi pesanan segera untuk berhubung dengan keluarga dan rakan.

“Dalam kajian itu, 26 peratus rakyat Malaysia mengakui media sosial memainkan peranan yang penting dalam kehidupan mereka.

“Menjelang 2020, dijangkakan terdapat 800 juta langganan untuk telefon pintar di Asia Tenggara dan Oceania,” katanya.

Laporan itu juga mendedahkan, Akses Pelbagai Bahagian Kod Jalur Lebar atau Akses Paket Kelajuan Tinggi akan membentuk majoriti dalam semua langganan pada 2020, dengan lebih kurang 4.4 bilion langganan berbanding dengan 3.5 bilion langganan Evolusi Jangka Panjang.

“Trafik data akan terus tumbuh di rantau ini memandangkan kadar penembusan telefon pintar dan penggunaan data untuk setiap peranti meningkat.

“Peranti-peranti ini terdiri daripada 65 hingga 70 peratus jumlah telefon bimbit yang dijual dalam suku ketiga 2014, berbanding sekitar 55 peratus semasa suku ketiga 2013,” katanya.

Menurutnya, sekurang-kurangnya 37 peratus langganan daripada telefon bimbit sekarang ini dikaitkan dengan telefon pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 10:24 PM