SELAMAT (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Kad-i Musafir.
SELAMAT (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Kad-i Musafir.

Kuala Lumpur: Al Rajhi Bank Malaysia merancang meningkatkan pertumbuhan perniagaannya pada tahun depan melalui suntikan modal RM500 juta yang diberikan syarikat induknya Al Rajhi Bank yang berpangkalan di Arab Saudi, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Selamat Sirat berkata, modal itu digunakan untuk membantu pelaksanaan strategi pertumbuhan perniagaan dan penstrukturan rangkaian perkhidmatannya di seluruh negara.

“Kami tiada pelan untuk membuka cawangan baru buat masa ini kerana kami memberi fokus untuk meningkatkan pertumbuhan dalam tempoh jangka panjang,” katanya pada majlis pelancaran Kad-i Musafir bersempena Festival Road2 Haramain 2014 di sini, semalam.

Kad-i Musafir kad pra bayar pertama di Malaysia yang menggunakan matawang Saudi Riyal di mana ia memberi kemudahan kepada jemaah haji dan umrah untuk melakukan pengeluaran wang tunai semasa berada di Arab Saudi.

Ia mematuhi piawaian Syariah di bawah kontrak Qard dan Sarf di mana pengguna boleh menambah nilai jumlah dalam kad terbabit dengan nilai maksimum sehingga RM10,000 tanpa dikenakan fi.

Beliau berkata, pengenalan kad itu salah satu daripada strategi untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dan pihaknya menyasarkan 45,000 pelanggan menggunakan kad terbabit pada 2015.

“Kami yakin suntikan modal yang diberikan akan membantu kami untuk meluaskan penggunaan Kad-i Musafir di dua negara rantau Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Brunei pada suku kedua tahun depan,” katanya.

Al Rajhi Bank adalah bank dari rantau Timur Tengah yang mula menerokai pasaran tempatan pada 2007 di mana sehingga kini ia memiliki 24 cawangan perbankan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 8:40 AM