Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Sempang Pantai, Serkam, di sini, musnah jilat api, pada 10.15 pagi, hari ini.

Rumah separuh kekal terbabit terbakar ketika Rosenah Abdul Manap, 65, dan Roslan Othman, 41, berada di rumah.

Empt ahli keluarga lain iaitu Razali Othman, 36, Masura Baba, 35, dan dua kanak-kanak berusia sembilan dan enam tahun ke pekan Jasin.

Komander Operasi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau Penolong Penguasa Bomba, Masri Ibrahim, berkata rumah itu musnah 70 peratus tetapi tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan.

Bagaimanapun, katanya, keluarga terbabit gagal menyelamatkan harta benda dan kini tinggal sehelai sepinggang.

Beliau berkata, operasi memadam berakhir pada 12.30 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 7:48 PM