AHMAD Puzi. FOTO Shazreen Zamzuri
AHMAD Puzi. FOTO Shazreen Zamzuri
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Sebanyak 171 tangkapan membabitkan 342 bot kenka diperolehi berdasarkan penguatkuasaan terhadap penggunaan Bot Pukat Kenka Dua Bot yang dijalankan oleh Agensi Penguatkuasaan Martitim Malaysia (APMM) sehingga kini.

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, semua bot yang ditahan dikenakan kompaun dan denda oleh Jabatan Perikanan.

"Bagi tahun lalu, 86 aduan mengenai aktiviti ini dilaporkan kepada APMM dan daripada jumlah itu, sebanyak 95 peratus aduan diambil tindakan.

"Ia membabitkan 354 bot pukat kenka diperiksa, manakala 32 bot kenka ditahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mengikut rekod Bahagian Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan, sejumlah 534 bot pukat kenka dua bot atau 267 pasang bot sudah dilesenkan secara sah oleh jabatan itu.

Selain itu, Ahmad Puzi berkata, pihaknya mengambil maklum cadangan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk memindahkan pangkalan sedia ada di Kuala Kurau.

"APMM mengenal pasti lokasi baru pada 2014 di Ban Pecah, Tanjung Piandang yang berkeluasan 9.7 ekar.

"Kelulusan bagi pemilikan kawasan ini sedang dijalankan di samping permohonan kewangan bagi pembinaan sebuah pangkalan maritim," katanya.

Semalam, Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam dilaporkan berkata, APPM disaran mewujudkan pusat pemantauan di kawasan kuala Sungai Burung, Perak sebagai langkah menangani kejadian pencerobohan bot pukat kenka di Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Perak.

Katanya, APMM perlu menambah bilangan anggota penguatkuasa, pos kawalan, menyediakan peralatan mencukupi serta melakukan rondaan secara mengejut ke kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2016 @ 6:09 PM