Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sumbangan kepada K Vanesri (gambar kiri) dan Noor Jahan Sultan (gambar kanan).
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan sumbangan kepada K Vanesri (gambar kiri) dan Noor Jahan Sultan (gambar kanan).
BERNAMA

Putrajaya: Dua guru Malaysia disenarai pendek bagi Hadiah Guru Global anjuran Varkey Foundation yang akan disampaikan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 13 Mac.

Hadiah Guru Global adalah anugerah AS$1 juta yang diberi setiap tahun kepada seorang guru luar biasa yang memberi sumbangan cemerlang terhadap profesionnya.

Mereka ialah Vanesri Kasi dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jalan Khalidi, Muar, Johor dan Noorjahan Sultan dari Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama, Pahang.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, yang mengadakan perjumpaan dengan dua guru itu di pejabatnya di sini hari ini, berkata pencapaian mereka pengiktirafan antarabangsa terhadap kebolehan dan sumbangan guru di negara ini.

Vanesri adalah guru pendidikan pemulihan yang cemerlang dalam mengintegrasikan semula pelajar, khususnya pelajar lembab, ke sekolah arus perdana.

Antara kaedah beliau ialah meminta pelajar membuat projek sendiri bermula dengan mengemukakan cadangan sebelum membentangkannya di depan pelajar lain bagi mendapatkan keyakinan diri.

Kaedah itu berjaya membawa 14 pelajar program pemulihan ke kelas arus perdana dalam masa lapan bulan.

Vanesri memenangi beberapa hadiah, termasuk Anugerah inovasi Terbaik peringkat kebangsaan dan Anugerah Pendidikan Sukan di Thailand.

Noorjahan, guru prasekolah dengan lebih 20 tahun pengalaman, menjadi perintis "Let's Rhyme" pada 2009 iaitu kaedah mempelajari bahasa Inggeris mengikut abjad dan irama bertema yang meliputi 40 tema berbeza berpandukan kurikulum prasekolah kebangsaan.

Pelajarnya mencapai kejayaan besar dalam pelbagai pertandingan dan sering diundang mengadakan persembahan untuk prasekolah lain sebagai model peranan yang patut dicontohi.

Baru-baru ini, beliau menerima undangan daripada Yayasan Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei Darussalam untuk mengadakan perkongsian secara profesional mengenai 'Fostering English Language through Rhymes'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 9:38 PM