Sharin Aizrulidana Samsuri
Sharin Aizrulidana Samsuri
BERNAMA

Kota Kinabalu: Semangat dan komitmen Sharin Aizrulidana Samsuri, 46, untuk memberi pendidikan sempurna kepada anak-anak Sabah sekali gus memastikan mereka tidak keciciran pelajaran telah memateri dirinya selama dua dekad merantau jauh bagi menabur bakti di 'Negeri Bawah Bayu' ini.

Anak jati Kota Tinggi, Johor itu yang berkhidmat sebagai guru prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Padang, di sini, masih tetap setia malah gigih menggarap idea baharu yang bersesuaian untuk pendidikan awal kanak-kanak bagi mewujudkan suasana pembelajaran efisien seiring keperluan semasa.

Sharin Aizrulidana berkata beliau pernah menerima tawaran untuk kembali berkhidmat di negeri kelahirannya, namun ibu kepada tiga anak perempuan itu memilih untuk kekal di Sabah kerana kecintaan mendalam terhadap negeri ini.

Sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam dunia pendidikan, Sharin Aizrulidana telah berkhidmat sebagai pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi swasta di Sabah sebelum meneruskan minatnya sebagai guru prasekolah pada 2005.

"Bagaimanapun, masih banyak yang perlu saya pelajari kerana cabaran dalam mendidik kanak-kanak cukup besar apatah lagi generasi Alpha sekarang ini yang memerlukan guru-guru untuk sentiasa melakukan transformasi dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran," katanya kepada Bernama.

Berkongsi pengalamannya mencurah bakti sebagai guru prasekolah di Sabah, Sharin Aizrulidana berkata semuanya bermula ketika beliau menjalani latihan industri di sebuah sekolah luar bandar bagi memenuhi kursus Diploma Pendidikan (Kursus Pengurusan Lepasan Ijazah) Opsyen Pengajian Prasekolah yang ditekuninya di Maktab Perguruan Keningau.

Beliau berkata minatnya terhadap profesion keguruan terutama dalam mendidik kanak-kanak semakin menebal kerana keseronokan melihat golongan kecil itu dapat menguasai kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul (4M) yang diajarkannya, apatah lagi menurutnya, ia adalah asas penting untuk pendidikan awal kanak-kanak sebelum mereka melangkah ke Tahun Satu.

Sharin Aizrulidana tidak menafikan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah secara dalam talian sepanjang pandemik Covid-19 sangat mencabar memandangkan murid prasekolah memerlukan aktiviti pembelajaran langsung dan multisensori untuk mereka lebih mudah memahami kemahiran diajar.

Namun, beliau tetap komited meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan mengadakan kelas insentif membaca menerusi panggilan video setiap hari mengikut jadual, selain membuat inovasi pembelajaran bagi membantu murid prasekolah terutama mereka yang tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian.

"Saya pernah membuat sudut khas di rumah murid untuk memudahkan mereka menggunakan bahan inovasi itu, selain saya juga menghasilkan video pembelajaran yang kemudiannya dimuat naik di YouTube," katanya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Kewangan) Universiti Putra Malaysia.

Dengan sentiasa berfikiran positif serta tidak menganggap cabaran kerja sebagai bebanan sebaliknya satu ibadah dan menyeronokkan, Sharin Aizrulidana telah berjaya melakar pelbagai kecemerlangan sepanjang bergelar guru menerusi 48 anugerah setakat ini termasuk pengiktirafan peringkat antarabangsa.

Beliau berkata semua anugerah tersebut antara lain membabitkan hasil inovasi serta kajian dihasilkannya mengenai pembangunan pendidikan prasekolah, dengan inovasi terbaharu berkaitan Bahasa Inggeris yang turut membolehkannya mendapat Anugerah Guru Inovatif (Individu Prasekolah) sempena Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan 2022.

"Alhamdulillah, saya bersyukur atas rezeki ini. Ini adalah kali kedua saya menerima anugerah di peringkat kebangsaan sempena Hari Guru. Anugerah ini memberi saya satu motivasi ekstrinsik untuk terus berkarya seterusnya mencurahkan segala idea, masa dan tenaga mendidik anak-anak kecil pewaris negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 3:45 PM