JARI Dinkal kontot selepas dia memakannya.
JARI Dinkal kontot selepas dia memakannya.
MANISHA tidak rasa sakit walaupun kakinya luka.
MANISHA tidak rasa sakit walaupun kakinya luka.
Agensi

Raipur (India): Dua adik beradik disahkan menghidap penyakit ganjil yang membuatkan diri mereka tidak dapat merasa kesakitan.

Keadaan itu menyebabkan Manisha Patel, tujuh, dan adik lelakinya Dinkal yang menetap di Raipur di negeri Chatisgarh, timur India, kehilangan sebahagian jari mereka yang mereka sendiri makan, tanpa merasa sakit.

Pasangan itu juga terdedah kepada jangkitan kerana mereka boleh mengalami kecederaan - yang mungkin tidak tertanggung oleh kanak-kanak lain sebaya mereka - tanpa disedari.

Tangan Manisha dan adiknya kini terpaksa dibalut bagi mengelak mereka memamah hari-hari.

Begitu juga dengan kaki mereka yang dibalut bagi mengelak kecederaan seterusnya.

Penyakit mereka yang dikenali sebagai analgesia kongenital dikatakan berpunca daripada kecelaruan genetik.

Keadaan mereka begitu teruk hingga kakak dan adik itu tidak boleh merasakan kesakitan pada tubuh mereka, menyebabkan mereka terdedah kepada jangkitan.

Bapa mereka, Gopal Prasad Patel, 32, berkata, dia sering mendapati anaknya dalam keadaan berdarah apabila pulang dari bekerja.

“Saya tidak percaya mereka makan jari mereka. Keadaan berlaku ketika mereka bermain di rumah.

“Sungguh menyedihkan. Jari mereka kini kelihatan kontot, seolah-olah dimakan tikus,” katanya.

Dia baru-baru ini membawa kedua-dua anaknya ke hospital tempatan sebelum mereka dipindahkan kepada pusat perubatan lebih lengkap.

Menurut Prasad, dia mulanya menyangka Manisha dan Dinkal anak yang berani kerana tidak menangis walaupun cedera.

Dia yang hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM300 sebulan kini bimbang tidak dapat menanggung kos rawatan anaknya.

“Untuk makan dua kali sehari sudah cukup susah. Inikan pula nak membayar kos rawatan mereka,” katanya.

Isterinya, Anita, 28, berkata: “Sejak dilahirkan, saya tidak pernah mendengar mereka menangis jika cedera. Kami menyangka mereka kuat dan tabah. Tetapi apabila melihat mereka makan jari masing-masing, ia menyedihkan saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 7:12 AM