RAKAMAN kamera keselamatan menunjukkan dua wanita itu menyerang sebuah balai polis di Istanbul.
RAKAMAN kamera keselamatan menunjukkan dua wanita itu menyerang sebuah balai polis di Istanbul.
Agensi

Istanbul: Polis menembak mati dua wanita yang bersembunyi dalam sebuah bangunan di sini selepas mereka menyerang polis dengan senjata api dan bom tangan.

Dua anggota polis cedera ringan dalam serangan berkenaan.

Agensi berita Anadolu melaporkan, wanita terbabit ialah anggota Barisan Tentera Pembebasan Rakyat Revolusi, kumpulan berhaluan kiri yang diharamkan.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan wanita itu menembak bas polis di luar balai polis antirusuhan di kawasan kejiranan Bayrampasa.

Mereka turut melontar bom tangan ke arah balai itu. Bagaimanapun, bom berkenaan tidak meletup.

Kedua-duanya kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta sebelum bersembunyi di sebuah bangunan tidak jauh dari lokasi serangan.

Usaha memujuk pasangan itu menyerah diri gagal, menyebabkan pasukan khas polis melepaskan tembakan.

Serangan semalam berlaku ketika keganasan membabitkan kumpulan bersenjata Kurdis dan pihak berkuasa Turki semakin memuncak sejak tahun lalu.

Bulan lalu, serangan bom kereta yang menyasarkan bas membawa tentera di Ankara menyebabkan 29 orang terbunuh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 7:05 AM