SONG menunjukkan perkhidmatan Nida Rooms yang boleh dicapai pengguna melalui telefon.
SONG menunjukkan perkhidmatan Nida Rooms yang boleh dicapai pengguna melalui telefon.
myMetro

Kuala Lumpur: Nida Rooms, pengendali hotel maya (VHO) terbesar di Asia Tenggara terus mengembangkan pengendalian operasinya dengan sasaran menjalin kerjasama dengan 5,000 hotel di ASEAN menjelang Mei 2016.

Untuk kekal kukuh dan berdaya tahan dalam industri hospitaliti, syarikat itu mengadakan usaha sama dengan SelecTV, penyedia perkhidmatan televisyen pra-bayar untuk sektor perhotelan sebagai rakan perniagaan strategik.

Ketua Pegawai Komersialnya, Song Eu Jin berkata, ketika ini Nida Rooms menjalankan operasi tempahan bilik di 3,000 hotel dan sasaran 5,000 hotel itu adalah strategi baru kumpulan memantapkan operasinya di beberapa bandar utama di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Filipina.

Beliau berkata, kerjasama itu usaha mentransformasikan industri hospitaliti, selain menawarkan pengalaman penginapan lebih menyeronokkan dengan tumpuan kepada penyampaian secara konsisten dan penjimatan kos kepada pelanggan.

“Kami yakin mencapai sasaran hotel yang ke-5,000 pada pertengahan tahun ini seiring pelan perniagaan yang fokus kepada lebih banyak hotel di Asean dan mengadakan promosi istimewa kepada orang ramai.

“Dengan adanya SelecTV sebagai rakan kerjasama, kami yakin ia menyumbang kepada penawaran perkhidmatan lebih berkualiti dan cekap serta harga mampu milik,” katanya.

Nida Rooms adalah penyelesaian untuk keperluan hotel bajet yang komited menyediakan penginapan kos rendah berkualiti di ASEAN disokong oleh perkongsian dengan hotel bertaraf tiga hingga satu bintang.

Hotel maya itu yang mula ditubuhkan pada 1 September 2015 itu mempunyai 400 pekerja di empat negara diketuai pasukan pengurusan berpengalaman.

Katanya, menerusi perkhidmatan disediakan, pihaknya yakin pengembara bajet berpeluang mendapat produk konsisten serta berbaloi menerusi tempahan dalam Nida Rooms.

Nida Rooms mempunyai aplikasi tempahan yang boleh dimuat turun di Google Playstore bagi pengguna Android dan iOS untuk pengguna sistem iOS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 6:52 AM