Kuala Lumpur: Pendekatan ‘semut api’ akan menjadi amalan kerja Pergerakan Puteri Umno dalam usaha memperkukuhkan barisannya pada masa depan, di samping mencontohi sifat mulia sembilan srikandi Islam bernama ‘Siti’.

Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sifat semut api, meskipun kecil namun mempunyai gigitan berbisa, bekerja secara berkumpulan dan rajin serta tidak pernah mengenal erti putus asa menjadi pendekatan pergerakan itu dalam mengatur strategi dan mewujudkan ‘barisan semut api’.

“Semut setia kepada ketua dan akan mempertahankan ‘rumah’ mereka daripada dicerobohi serta tidak akan tersesat kerana membina jaringan jalan sendiri selain bijak mengatur strategi.

“Inilah pasukan Puteri Umno. Dalam diam, kita atur strategi. Kita tepis segala propaganda dan fitnah di laman sosial,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Mas Ermieyati berkata, mereka tidak berhadapan masalah untuk membentuk jentera parti yang kuat memandangkan pelbagai golongan profesional memilih untuk berjuang bersama-sama Puteri Umno. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 1:25 PM