MARYANNI suka bekerja.
MARYANNI suka bekerja.
KETIKA mengendalikan bengkel imej anjuran Great Eastern Takaful.
KETIKA mengendalikan bengkel imej anjuran Great Eastern Takaful.
KETIKA mengendalikan bengkel imej anjuran Great Eastern Takaful.
KETIKA mengendalikan bengkel imej anjuran Great Eastern Takaful.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Seorang yang tidak tahu duduk diam dan boleh dikategorikan sebagai ‘kaki kerja’, setiap hari MaryAnni Masarip menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasan yang perlu disiapkan sehingga sering tidak mendapat rehat mencukupi.

Minat mendalam sebagai perunding imej bagi wanita Muslimah dalam dunia korporat membuatkannya terus bersemangat, malah ketika kebanyakan waktu orang sedang nyenyak diulit mimpi, dia hanya memperuntukkan kira-kira tiga jam untuk tidur.

MaryAnni, 30-an, yang pernah bertugas selama empat tahun dalam institusi perbankan berkata, minatnya yang mendalam dalam bidang pengurusan imej membawanya melangkah setapak dengan menubuhkan syarikat perunding imej sejak lima tahun lalu.

Menyedari tidak ramai perunding imej yang memberi fokus kepada penampilan Muslimah profesional dalam dunia korporat, MaryAnni memberanikan diri menawarkan diri dan berkongsi ilmu untuk membentuk personaliti menarik golongan berkenaan.

Berasal dari Kuching, Sarawak, dia menyediakan program khusus buat wanita profesional dan golongan kenamaan termasuklah mereka yang bergiat dalam dunia korporat.

“Bagi dunia korporat, pendekatan dan modul yang saya sediakan lebih memberi fokus kepada penampilan konvensional dan imej sesuai untuk organisasi profesional.

“Selalunya perunding imej yang ada lebih memberi tumpuan kepada gaya fesyen moden atau bukan profesional. Melihat kepada kekurangan dalam fesyen korporat berciri Muslimah, saya mengambil peluang menyediakan perkhidmatan kepada golongan itu.

“Selain ilmu akademik dan pengalaman dalam dunia perbankan, saya juga membuat pemerhatian terhadap gaya golongan korporat dan profesional untuk lebih memahami konsep penampilan mereka.

“Saya pernah duduk di hadapan sebuah bank selama berjam-jam semata-mata memerhatikan gaya penampilan golongan profesional yang keluar masuk untuk berurusan,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Pengukuhan Imej Profesional untuk media anjuran Great Eastern Takaful di Menara Great Eastern, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada penganjuran bengkel sehari itu, kira-kira 30 wakil media mengambil bahagian untuk mempelajari imej lebih profesional selain etika ketika berurusan dalam dunia korporat.

Menurutnya, biarpun fesyen Muslimah berkembang pantas, kebanyakannya lebih kepada gaya santai dan tidak sesuai untuk diterapkan sebagai pemakaian Muslimah dalam dunia korporat.

Misalnya, menurut MaryAnni, pemakaian jubah tidak diterima kebanyakan majikan dalam dunia korporat kerana ia dianggap pakaian santai, lalu dia mencari fesyen alternatif yang bukan saja sopan, menutup aurat tetapi nampak lebih profesional buat Muslimah.

Peranan dimainkannya lebih kepada mendidik pekerja sesebuah organisasi mengenai penampilan yang harus dipilih dan dimahukan majikan supaya orang melihatnya lebih profesional dan dianggap serius ketika menjalankan urusan.

Beroperasi sendiri

Pengasas bersama dan pelatih utama melalui syarikatnya, Training Cube International Sdn Bhd, itu sehingga kini sudah memberi panduan imej kepada ribuan pekerja syarikat korporat, swasta, agensi kerajaan dan pusat pengajian tinggi.

Ibu kepada dua anak itu sering bekerja sehingga lewat malam, kadang­kala memasuki awal pagi bagi menyediakan modul bersesuaian mengikut kehendak majikan yang mengupahnya untuk memberi panduan pemakaian profesional kepada pekerjanya.

“Bagi dunia korporat, bukan setakat jenis pakaian, pemilihan warna juga penting bagi menunjukkan imej profesional misalnya warna lebih gelap dan tidak boleh lebih daripada gabungan tiga warna setiap kali berpakaian,” katanya.

Katanya yang fasih bertutur Mandarin, selain suka bekerja dan tidak pernah menganggap tugasan sebagai satu beban, sikapnya yang terlalu berdedikasi hingga pergi ke tempat kerja biarpun sedang bercuti, membuatkan suami dan rakan lebih menggalakkan dia bekerja sendiri.

Apa yang menariknya, selepas berhenti kerja demi meneruskan cita-cita dalam dunia perunding imej Muslimah, dia dan suami merahsiakan mengenai tindakannya itu selama dua tahun daripada pengetahuan kedua-dua belah keluarga kerana tidak mahu keluarga berasa risau keadaan kewangan mereka.

Suaminya, Nadzrun Abd Wahab, 33, pendorong kuat kepada kejayaannya selain dibantu tujuh kakitangan bagi melicinkan tugasan dan proses penyediaan modul bagi setiap sesi bengkel atau latihan yang dijalankannya.

MaryAnni yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, melihat kepada kesibukannya yang semakin menjadi-jadi, suaminya sanggup melepaskan jawatan dalam bidang teknologi maklumat.

Bukan hanya dalam negara, perkhidmatan MaryAnni sebagai perunding imej Muslimah korporat juga mendapat perhatian majikan dari Singapura dan Brunei, selain dia bercita-cita melebarkan sayap sehingga ke Timur Tengah dan Jakarta.

Pada 2011, dia menubuhkan Akademi Perunding Imej Profesional (APIP) yang beroperasi di Bandar Baru Ampang untuk melatih barisan pelapis dan sehingga kini sudah melahirkan 95 graduan.

MaryAnni juga ketika ini dilantik sebagai Naib Presiden Persatuan Komunikasi Perunding Imej Antarabangsa (AICI) Malaysia dan aktif sebagai ahli Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia.

Antara pengiktirafan dalam bidang perunding imej profesional yang dimilikinya ialah daripada Body Beautiful Institute Amerika Syarikat (AS), Poise Image International Singapura, ByFerial Training and Image Consulting, Australia, Expert Rating AS dan Majlis Pembangunan Manusia oleh Kementerian Sumber Manusia.

Masih Suri Rumah

Selain perkhidmatan perunding imej, anak sulung daripada sembilan beradik itu juga menawarkan program dandanan diri, etika ketika berurusan dan juga ‘personal shopper’ kepada pelanggan korporat, individu kenamaan, persatuan profesional, agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi, dalam dan luar negara.

Sebagai wanita yang terlalu sibuk, MaryAnni mengakui masa dengan keluarganya agak terhad termasuk menguruskan dua anaknya, Muhammad Arsyad, 5, dan Az Zahra, lapan bulan tetapi dia bersyukur kerana suami dan keluarga memahami dan menjadi penyokong nombor satu.

“Biarpun saya terlalu sibuk, saya tetap melakukan segalanya seorang diri termasuk mengemas rumah setiap hari. Saya tidak mempunyai pembantu rumah kerana rasa lebih puas hati jika dapat buat sendiri kerja rumah.

“Selalunya selepas pulang ke rumah dan menghabiskan masa dengan anak dan menyiapkan beberapa tugasan, saya tidur, tetapi kemudian bangun sekitar jam 2 pagi semata-mata untuk mengemas rumah,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan orang, MaryAnni tidak mempunyai perancangan untuk bersara, sebaliknya akan terus bekerja selagi terdaya kerana dia sangat cintakan kerjayanya supaya masanya terisi dengan perkara berfaedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 11:54 AM