Iheanacho menyerlah bersama City musim ini.
Iheanacho menyerlah bersama City musim ini.
Agensi

Setiap hujung minggu di Negeria ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak berkumpul di depan televisyen semata-mata mahu melihat aksi bola sepak Inggeris.

Misalnya, ketika perlawanan pusingan kelima Piala FA di antara Manchester City dan Chelsea, mereka mahukan peluang menonton salah seorang daripada anak watan mereka iaitu penyerang City, Kelechi Iheanacho.

Mungkin keputusan perlawanan tidak seperti yang mereka harapkan apabila City tewas 1-5, sekali gus tersingkir daripada Piala FA.

Biarpun berada 7,242 kilometer jauhnya dari Stamford Bridge peminat setia di Imo, sebuah negeri di Nigeria di mana remaja itu dilahirkan akan membayar 50 naira (RM1) untuk berhimpit-himpit di depan televisyen dengan harapan dapat menontonnya.

Mereka boleh dianggap bertuah.

Namun sewaktu kecilnya, Iheanachi tidak begitu bertuah dan dalam wawancara terbesar pertamanya sejak meledak populariti musim ini, pemain berusia 19 tahun itu mendedahkan kesusahan yang dialaminya sewaktu kecil.

Dibesarkan di kawasan yang dianggapnya sebagai kawasan miskin, dia adalah di antara kanak-kanak miskin dan tidak mampu mendapatkan 50 naira untuk menonton bola sepak.

Iheanacho beraksi cemerlang pada Piala FA musim ini, menjaringkan gol di Norwich pada pusingan ketiga sebelum meledak hatrik menentang Aston Villa pada pusingan keempat.

Skuad City menandatangani bola perlawanan dan mungkin terdengar sorakan peminat melaungkan ‘Ihean-atch-io’ di dalam bilik persalinan Villa Park semenatara bintang muda yang pemalu berdepan media di luar.

Dia sudah mengumpul sembilan gol setakat ini namun mengakui tidak ingat jika pernah menyaksikan perlawanan PialaFA di kampung halamannya.

“Kami tidak mempunyai wang,” katanya.

“Mungkin selepas perlawanan, saya mendengar jaringan atau seumpamanya. Saya berada di rumah bermain bola sepak dan kawan akan datang selepas berada di sana untuk memberitahu saya. Kami tiada televisyen di rumah.”

Iheanacho pada mulanya banyak mendiamkan diri, tidak begitu selesa menceritakan mengenai masa kanak-kanaknya, lututnya bergoyang ketika menjelaskan bahawa keluarganya akan menggunakan wang yang diperolehi mereka untuk membeli roti daripada membeli barang mewah seperti televisyen.

“Kadang kala saya menonton liga Sepanyol, ia lebih murah, mungkin 30 naira (RM0.65),” katanya.

“Saya perlu membayar 50 naira untuk Liga Perdana Inggeris. Kadangkala saya menonton Liga Perdana Ing­geris jika terjumpa wang, atau pergi ke sana dan merayu mereka membenarkan saya masuk atau mungkin mencuri masuk pada separuh masa kedua dan membayar separuh harga.

“Saya menyokong Barcelona kerana saya menonton liga Sepanyol. Saya menonton Yaya (Toure) bermain untuk Barcelona dan kini saya bermain dengannya. Ia impian yang menjadi kenyataan.

“Saya perlu berdiri sendiri tetapi dia membawa pengaruh besar di Afrika. Dia sudah banyak menyumbang kepada Afrika dan berharap dapat melakukannya.”

Toure bersama seorang lagi pemain Ivory Coast Wilfried Bony menjadi ‘pembimbing’ Iheanacho apabila pengurus City Manuel Pellegrini tanpa diduga enggan menandatangani penyerang baru musim panas lalu kerana ada pemain remaja dari akademi yang boleh diketengahkan tanpa perlu dipinjamkan untuk meraih pengalaman.

Pada awal kariernya Iheanachi hampir menyertai Porto namun tidak menyesal menolak tawaran kelab Portugal itu apabila menerima tawaran City dua tahun lalu.

Bapanya James memujuknya berpindah ke barat laut England yang ‘amat sejuk’ apabila City membayar Akademi Taye, Nigeria sebanyak £350,000 (RM2.07 juta) selepas peninjau pasukan tertarik dengan penyerang itu sewaktu Piala Dunia Bawah 17 di Emiriah Arab Bersatu di mana dia menerima anugerah pemain terbaik kejohanan.

Dia berpeluang bermain seketika dengan kelab MLS , Colombus Crew pada 2014 sebelum Pellegrini meletakkannya kembali ke bangku simpanan ketika menentang West Bromwich Albion pada hujung minggu pertama musim ini.

“Saya tidak menjangkakannya. Saya bekerja dengan Skuad Pembangunan Elit (EDS). Beliau berkata saya akan bersama mereka pada sesi pra-musim di Australia dan apabila kembali saya sudah berada dalam pasukan utama. Saya agak terkejut.

“Anda rasa agak gementar, mereka adalah pemain hebat. Adalah penting untuk mendengar kata jurulatih.

“Saya gembira bermain dengan mereka sekarang dan mereka memberi keyakinan kepada saya untuk bermain, banyak memberi galakan.

“Itu tidak bermakna saya tidak menghormati mereka atau menganggap diri sebahagian daripada mereka. Saya tidak boleh buatapa yang saya suka, saya perlu merendah diri terus bekerja keras.”

Iheanacho mengakui dorongan seperti itu tidak datang dengan mudah ke sekolah, sekalipun ibunya, Mercy seorang guru.

Ibunya meninggal dunia pada 2013, beberapa bulan sebelum menyertai Piala Dunia B-17 dan kenangan terhadapnya kini terus menjadi pendorongnya.

“Keadaan sukar bagi kami selepas kehilangan ibu. Kami tidak dapat melakukan apa-apa jadi saya katakan kepada diri saya ‘terus berjalan dan bekerja keras’.

“Beliau membuat saya bekerja lebih keras. Jika saya tidak melakukan sesuatu yang betul atau jika tidak bermain dengan baik dan bersungguh-sungguh, saya akan sentiasa teringatkan beliau. Ibu mendorong saya bekerja keras.

“Peluang kerja di negara sendiri memang ada tetapi bola sepak sentiasa dekat di hati. Sewaktu saya kecil mereka tidak mahu saya bermain bola sepak kerana ibu saya seorang guru, mereka mahu saya ke sekolah.

“Namun saya cintakan bola sepak dan mahu bermain, mereka mahu menghalang tetapi gagal.

“Mereka menghalang saya bermain selepas sekolah tetapi saya masih keluar. Mungkin saya hilang tumpuan dalam pembelajaran.

“Sesuatu yang menakjubkan apabila anda boleh pulang ke negara anda, masih ingat bagaimana kehidupan anda sebelum ini. Anda pulang ke rumah, semua orang melaungkan nama anda. Saya dikerumuni kanak-kanak. Mereka mahu bertemu anda, mengenali anda.”

Kini ramai kanak-kanak mula berangan-angan mahu menjadi pemain No 72 Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 8:02 AM