CATATAN di Facebook Ustaz Kazim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
CATATAN di Facebook Ustaz Kazim. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: "Doakan saya ya. Terima kasih semua doktor, jururawat, yang membantu dan menziarahi saya.

"Kalau saya panjang umur, kita jumpa lagi. Saya rindu dengan anda semua. Saya insan dhoif, maafkan saya," kata penceramah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias, menerusi akaun Facebooknya (FB), pagi tadi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim Elias berkata, dia sudah beberapa hari tidak memuat naik status di FB.

"Semalam sekitar 1 tengah hari saya sangat tidak selesa, penat, dada pedih dan berdebar dengan kuat. Sampai saat ini saya tidak dapat bercakap dengan baik, tersekat dan mudah penat jika bercakap.

"Ketika pertama kali serangan jantung tempoh hari, saya rasa inilah saat akhir saya di dunia.Saya sudah pasrah dan reda kalau Allah jemput saya.

"Tiga saluran arteri saya tersumbat dan angiogram akan dibuat selepas keadaan jantung saya stabil," katanya yang kini dirawat di hospital di Ipoh.

Menurutnya, dia meminta maaf kepada rakan, keluarga dan saudara-mara jika dia ada melakukan sebarang kesilapan.

"Buat keluarga, saya minta maaf. Buat anak-anak, ayah minta maaf sebab sangat kurang masa kita bersama. Harap anak-anak ayah faham kerja dakwah ayah.

"Buat staf dan pelajar Al Barakah teruskn usaha selama ini, jangan mengalah, jangan lemah semangat dan kalau jadi apa-apa pada saya jangan ditutup sekolah Al Barakah. Al Barakah adalah jiwa saya," katanya.

Sebelum ini, Ustaz Kazim dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana diserang penyakit jantung ketika berceramah di Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) jajahan Bachok, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 2:02 PM