PEMAIN Perodua Senawang ceria bersama trofi kejuaraan.
PEMAIN Perodua Senawang ceria bersama trofi kejuaraan.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Jaringan lewat permainan membolehkan Perodua Senawang menewaskan Gajus FC 2-1 sekali gus dinobatkan juara Kejohanan Futsal Bank Rakyat 2016 yang berlangsung di Sport Planet Senawang, baru-baru ini.

Kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang piala pusingan dan hamper manakala selaku naib juara, Gajus FC menerima pingat dan hamper.

Tempat ketiga dan keempat masing-masing milik Perodua cawangan Seremban dan Proton Edar cawangan Senawang.

Kejohanan yang julung kali diadakan itu disertai enam pasukan membabitkan rakan niaga Bank Rakyat di sekitar Senawang dan Seremban.

“Kami tidak menyangka layak ke final dan muncul juara kejohanan ini kerana tidak meletakkan sasaran.

“Namun, kesungguhan memberikan persembahan terbaik menjadi kunci kepada kemenangan ini kerana kami diberikan tentangan sengit Gajus FC. Jaringan saat akhir permainan, membolehkan kami muncul juara,” kata kapten Perodua Senawang Ahmad Khairi Zakaria.

Penyelaras kejohanan Rahmat Shamil berkata, kejohanan itu bertujuan merapatkan hubungan silaturahim di kalangan rakan niaga Bank Rakyat selain menyemarakkan lagi aktiviti kesukanan di kalangan kakitangan bank.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 9:04 AM