DAUN ketum yang dirampas AKSEM Perlis selepas  menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di dalam stor sebuah rumah di Kok Mak. FOTO Ihsan AKSEM.
DAUN ketum yang dirampas AKSEM Perlis selepas menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di dalam stor sebuah rumah di Kok Mak. FOTO Ihsan AKSEM.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis menyerbu sebuah rumah dijadikan stor simpanan daun ketum bernilai RM30,200 di Kok Mak, Padang Besar, malam tadi.

Jurucakap AKSEM Perlis berkata, pihaknya yang diketuai unit risikan AKSEM Padang Besar bersama anggota polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun disyaki penyeludup daun ketum berkenaan, dalam serbuan jam 7.30 malam itu.

“Kami menerima maklumat awam mengenai rumah terbabit yang dijaga oleh seorang lelaki dan dijadikan sebagai tempat simpanan sementara daun ketum.

“Setibanya kami di lokasi, kami perkenalkan diri sebagai anggota berkuasa kepadanya dan melakukan pemeriksaan di dalam rumah terbabit.

“Hasil pemeriksaan berjaya menemui 602 kilogram daun ketum yang dimuatkan ke dalam 25 guni di dalam stor di bahagian belakang rumah,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau berkata, suspek mengaku semua guni berkenaan miliknya dan ia disimpan untuk sementara waktu sebelum dijual.

“Kami percaya semua daun ketum terbabit akan diseludup ke negara jiran memandangkan permintaannya begitu tinggi.

“Suspek bersama daun ketum berkenaan dibawa ke Kompleks AKSEM Padang Besar dan kes diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 January 2019 @ 3:51 PM