Dua peragut yang ditangkap orang awam.
Dua peragut yang ditangkap orang awam.
Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Dua sekawan yang meragut beg tangan seorang wanita ditangkap oleh orang awam dalam kejadian di Jalan Metro Perdana, Taman Usahawan, Kepong, pagi tadi.

Dalam kejadian 8.50 pagi itu, mangsa berjalan ke tempat kerja sebelum didatangi dua lelaki dari arah belakang.

Difahamkan, salah seorang daripada lelaki warga tempatan itu merentap beg tangan mangsa sebelum mangsa terjatuh dan mereka melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Superintendan Mohd Sukri Kaman berkata, orang awam yang menyedari kejadian itu mengejar dan berjaya menangkap suspek.

"Berlaku pergelutan antara orang awam dan suspek hingga menyebabkan kedua-dua suspek itu cedera.

"Mereka dibawa ke Balai Polis Kepong untuk disoal siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 5:32 PM