WAN Ahmad Saifuddin (dua dari kiri) bersama Pengasas dan Pengerusi JIKEI, Dr Kunihiko Ukifune pada majlis menandatangani MoA.
WAN Ahmad Saifuddin (dua dari kiri) bersama Pengasas dan Pengerusi JIKEI, Dr Kunihiko Ukifune pada majlis menandatangani MoA.

Kelana Jaya: UNITAR International University (UNITAR) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Jikei Group of Colleges (JIKEI) untuk manfaat program pendidikan antarabangsa di bawah Fakulti Seni Bina dan Reka Bentuk UNITAR.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Ahmad Saifuddin Wan Ahmad Radzi berkata, antara tujuan lain MoA berkenaan untuk memformalkan mekanisme pembangunan pelan projek termasuk program pendidikan berbentuk kursus tertentu dan pembangunan perisian kursus, latihan serta pendekatan dalam bidang pembangunan media, teknologi dan kajian reka bentuk kreatif.

“Ia adalah satu cadangan pendidikan yang unik kerana membuka peluang kepada pelajar kita mendapat akses reka bentuk melalui teknologi multimedia. JIKEI adalah sekolah vokasional yang melatih pelajar untuk bersedia menjadi profesional menerusi segmen multimedia kepada masyarakat.

“Peralihan daripada Diploma Reka Bentuk UNITAR, dalam bidang reka bentuk digital grafik, produk dan media interaktif untuk kemudahan teknikal serta vokasional di bawah pelbagai slot latihan JIKEI dengan tujuan sama iaitu untuk melahirkan profesional reka bentuk dan multimedia berjaya,” katanya.

Beliau berkata, program diploma terbabit juga membenarkan pelajar untuk transit ke institusi Jepun dengan intensif kelas bahasa Jepun serta penggunaan bahasa Jepun dalam penyampaian modul utama, mata pelajaran atau kursus dalam setiap program oleh tenaga pengajar profesional yang dilatih atau bekerja di Jepun.

Dalam jangka masa panjang, kerjasama terbabit dilihat akan membantu Malaysia menghasilkan bakat berkemahiran tinggi dan pemain industri cemerlang untuk membangunkan ekonomi serta mempercepatkan pertumbuhan Malaysia.

UNITAR berhasrat bekerja rapat untuk memenuhi keperluan Agensi Kelayakan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memberi peluang kepada pelajar tempatan menikmati program industri berkualiti tinggi yang diiktiraf kerajaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 6:50 AM