Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Bekas pemandu Formula Satu (F1) Alex Yoong menganggap keputusan Jazeman Jaafar melupakan seketika impian beraksi pada perlumbaan berprestij itu dengan menyertai kejuaraan GT Eropah sebagai keputusan tepat.

Bagi Alex, yang penting pelumba berbakat negara berusia 23 tahun itu dapat terus konsisten berlumba, tidak kira apa juga saingan disertainya.

“Yang penting dia dapat terus berlumba secara kerap. Jika Jazeman beraksi sebagai pemandu ujian (F1) pun ia tidak banyak membantu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas bekas pelumba Minardi itu, beliau juga mengharapkan bekas pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS itu tidak mudah berputus asa dalam impiannya untuk beraksi pada saingan F1.

“Secara jujur, saya sememangnya sangat berharap Jazeman dapat beraksi dalam saingan F1 satu hari ini.

“Dia serta keluarganya sudah bekerja keras selama ini untuk cuba memenuhi impian itu.

“Apapun, dengan faktor ekonomi tidak menentu ketika ini termasuk nilai ringgit yang lemah, sememangnya sukar untuk mendapatkan tajaan,” katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Jazeman berkata sasaran utamanya tetap mahu beraksi dalam saingan F1 meskipun kini beralih arah kepada Kejuaraan GT Eropah bersama pasukan HTP Motorsport, tahun ini.

Jazeman percaya peluang beraksi dalam perlumbaan berprestij itu tetap ada tetapi untuk ketika ini dia perlu melupakannya berikutan faktor yang di luar kawalannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 5:06 AM