MANGSA yang lemas ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh. FOTO ihsan Bomba
MANGSA yang lemas ditemui kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh. FOTO ihsan Bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Mayat kanak-kanak lelaki yang terjatuh dalam parit di Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Gong Siburan di sini, ditemui petang tadi.

Mayat Vesten Sigat Wilson, 10, ditemui pada 4.50 petang oleh pasukan penyelamat kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, mangsa dikatakan terjatuh dalam parit itu kira-kira 3.45 petang.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.59 petang dan memulakan operasi mencari dan menyelamat pada 4.15 petang.

"Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan melakukan pencarian di permukaan air dan menemui mangsa dalam keadaan terapung.

"Pasukan Paramedik mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Mayat diserahkan kepada polis untuk dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 7:56 PM