FARAH Asyikin (tengah) bersama peguam Syarie, Siti Maisyarah Hashim keluar dari mahkamah. Turut kelihatan bekas suami, Zaahier. FOTO Surianie Mohd Hanif
FARAH Asyikin (tengah) bersama peguam Syarie, Siti Maisyarah Hashim keluar dari mahkamah. Turut kelihatan bekas suami, Zaahier. FOTO Surianie Mohd Hanif
Oleh Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Penyanyi Farah Asyikin dan suaminya, Zaahier Stanley sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.

Hakim Syarie, Umamuddin Yunus merekodkan perceraian itu yang dilakukan secara tebus talak sebanyak RM100 dan dilafazkan oleh hakam yang dilantik mahkamah.

Hakam adalah jawatankuasa yang dilantik mahkamah untuk menasihati suami melafazkan talak tetapi sekiranya suami masih enggan hakam akan melafazkan talak bagi pihak suami.

Penyanyi itu memfailkan perceraian mengikut Seksyen 47 dan 48 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, pada Oktober dua tahun lalu.

Pasangan itu berkahwin pada 15 Februari 2013 di kediaman keluarga Farah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur dan dikurniakan seorang anak lelaki, Ebrahim Owais yang kini berusia setahun sembilan bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2016 @ 2:27 PM