Oleh Firdaus Hashim

[email protected]

Kuala Lumpur: Bagi memastikan ‘taring’ skuad Harimau Malaya kembali ampuh, pengendali negara Datuk Ong Kim Swee (gambar) menggesa penyerang tempatan tampil lebih agresif apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula bulan depan.

Sambil mengakui bimbang memikirkan soal jentera serangan yang agak tumpul sejak beberapa musim lalu, Kim Swee bagaimanapun tetap menaruh keyakinan besar akan munculnya pemain baru yang bakal menyerlah atau tonggak senior bangkit semula menemui sentuhan pemusnah.

“Semua pihak sudah tahu saya diberi tiga sasaran yang harus dicapai tahun ini, iaitu misi layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019, memperbaiki ranking skuad kebangsaan (dari tangga ke-171 ke 140) dan menjuarai Piala AFF 2016 hujung tahun ini.

“Seperti saya katakan sebelum ini, untuk layak ke Piala Asia 2019 kena tunggu dulu undian play-off dan ranking pula kita perlukan masa, namun tidak mustahil. Begitu juga dengan merampas kembali Piala AFF, saya kira kita boleh.

“Tapi, saya perlukan kerjasama semua pihak untuk menilai tahap pemain tempatan terutama penyerang sebaik saja saingan liga bermula bulan depan.

“Berikutan kebanyakan kelab dan pasukan negeri mengambil khidmat pemain import, sudah tentu pemain tempatan perlu bersaing lebih kuat dan mantap bagi merebut tempat dalam pasukan masing-masing.

“Mereka (penyerang tempatan) harus membuktikan keupayaan untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan. Saya serta jurulatih lain akan sentiasa memantau perkembangan mereka bagi dipanggil untuk tugasan bertemu Arab Saudi nanti,” katanya.

Kim Swee yang baru dilantik ke jawatan itu bakal berdepan ujian pertama menentang Arab Saudi di tempat lawan pada aksi Kumpulan A saingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, pada Mac.

Jelasnya, jika tidak menemui penyerang baru dalam tempoh terdekat ini beliau akan menggunakan kriteria kedua iaitu pengalaman di pentas antarabangsa sebagai pertaruhan.

“Saya harap pemain tempatan dapat bersaing secara sihat dengan import. Walaupun begitu, sekiranya pemain tempatan tidak menyerlah saya akan menggunakan mereka yang berpengalaman.

“Pengalaman juga memainkan peranan penting dalam membuahkan hasil positif sesebuah pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 10:19 AM