HAZWAN
HAZWAN
myMetro

Kuala Lumpur: Penyerang harapan negara, Hazwan Bakri berharap skuad Harimau Malaysia segera mengumpulkan pemain terbaik dalam saingan liga tempatan di kala kempen Piala AFF hanya tinggal beberapa bulan.

Mengakui terkejut dengan persaraan empat tonggak utama iaitu ketua pasukan Safiq Rahim, Aidil Zafuan Razak, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal minggu lalu, bekas pemain Harimau Muda itu percaya pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee sudah merangka strategi tersendiri untuk mengatasi ketiadaan pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu.

“Pada saya, tak boleh nak cakap apa-apa mengenai keputusan mereka. Apa yang saya dengar, ia bukan paksaan daripada sesiapa tapi atas kerelaan sendiri.

“Jadi kita harus hormati keputusan itu dan segera fikirkan masa depan dengan membentuk pasukan baru.

“Saya harap pasukan (Malaysia) dapat kumpulkan pemain yang terbaik dalam liga kita untuk mengharungi Piala AFF hujung tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka pengendali pasukan Selangor, Zainal Abidin Hassan di Shah Alam, semalam.

Hazwan, 25, yang menyumbangkan tiga gol ketika membantu pasukan negara menumbangkan Timor Leste dengan agregat 6-0 pada aksi Play-Off Kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin Mei lalu, mengakui suasana kem negara pastinya berbeza selepas ini tanpa bimbingan pemain senior itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 10:05 AM