Oleh Nabihah Kamal


Kajang: Tindakan dua lelaki mendakwa mereka 'abang kawasan' yang meminta wang perlindungan daripada seorang kontraktor membawa padah apabila mereka ditahan polis di tapak pembinaan di Taman Sutera, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian 2 petang, kontraktor lelaki berusia 44 tahun itu didatangi dua suspek yang masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard, suspek mengugut mangsa membayar wang perlindungan sebanyak RM800.

“Mangsa enggan membayar wang berkenaan dan terus membuat laporan polis di balai polis berhampiran.

"Bagaimanapun, selepas beberapa jam mangsa membuat laporan polis, suspek datang semula dan cuba mencederakan pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu.

"Pengawal keselamatan warga Pakistan itu sempat melarikan diri dan menghubungi polis sebelum polis menahan suspek berkenaan,"katanya.

Menurutnya, dua suspek itu bekerja sebagai pengawal keselamatan dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah samun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana peras ugut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 1:35 AM