GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nabihah Kamal


EMPAT lelaki yang mengugut dan meminta wang perlindungan RM50,000 daripada kontraktor tapak pembinaan projek perumahan di Taman Pelangi, Sentul, ditahan di rumah mereka di sekitar taman itu, semalam.

Kontraktor berusia 45 tahun itu diugut tapak pembinaannya akan dibakar jika tidak membayar wang perlindungan pada 3 petang Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, mangsa membuat laporan polis selepas menerima ugutan itu.

"Bertindak atas laporan polis yang dibuat oleh mangsa, polis menahan empat suspek berusia 22 hingga 32 tahun itu di rumah mereka di Taman Sentul, Pelangi.

"Hasil siasatan mendapati, suspek mengaku melakukan ugutan jenayah berkenaan," katanya.

Susulan itu, katanya kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, mana-mana individu terutama peniaga yang diperas ugut diminta segera melaporkannya di balai polis terdekat.

"Kita minta mana-mana individu yang diugut supaya memberi wang perlindungan oleh kumpulan gengster atau individu segera membuat laporan polis supaya kita dapat menjalankan siasatan dan tangkapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 6:16 PM