AKSI Eddie dan Bidin dalam teater Bikers Kental.
AKSI Eddie dan Bidin dalam teater Bikers Kental.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Tidak dinafikan persembahan pembukaan teater Bikers Kental di Panggung Sari, Istana Budaya, Jumaat lalu menampakkan beberapa kelemahan yang ketara. Bagaimanapun ia bukanlah masalah yang mencemaskan pengarahnya, Nazrul Asraf kerana dia masih boleh memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam teater yang berlangsung sehingga 31 Januari ini.

Bahkan, Nazrul wajar dipuji kerana arahan pertamanya yang berkonsepkan ‘riding’ atau ‘road movie’ ini tetap gamat dengan gelak ketawa peminat yang terhibur dengan aksi Awie dan Zizan.

Ternyata dua nama ini menjadi daya penarik utama selain penampilan pelakon lain iaitu Nadia Brian, Amerul Affendi, Ayie Hushairi dan Pawika dari Thailand.

Cerita yang ditampilkan sememangnya tiada beza dengan kandungan filem Bikers Kental yang disiarkan pada 2003. Cuma penambahan beberapa watak turut dibuat bagi memantapkan lagi pengisiannya.

Teater Bikers Kental bergerak di atas landasan yang mudah. Kisah perjalanan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang suka melakukan perjalanan ke Thailand. Di dalamnya dipaparkan seorang anak muda bernama Bidin Al-Zaifa (Zizan), bekerja sebagai mekanik membaiki motosikal berkuasa berkuasa tinggi lantas dia teringin untuk memiliki motosikal hebat itu.

Ditakdirkan dia berdepan satu kejadian dan memperoleh ‘wang terpijak’. Dia membeli motosikal idamannya itu dan menyertai rakan lain antaranya Eddie (Awie) ke Thailand.

Di situlah kisah mereka bermula dan membawa kepada pelbagai kronologi menarik dalam pengembaraan ini. Mereka berjumpa dengan Saiya (Pawika), Nora Zain (Nadia) dan berdepan dengan samseng Kuntat (Ayie) dan Al Buqaq (Ameerul).

Jika diikutkan penonton tidak perlu berfikir untuk menghayati perjalanan teater ini. Bagaimanapun, muzik latar yang terlalu kuat malam itu menenggelamkan dialog pelakon menyebabkan penonton sukar memahami apa yang diperkatakan.

Bagaimanapun, teater ini dianggap boleh ‘layan’ kerana penonton tetap akan terhibur dengan lakonan Awie dan Zizan. Bahkan dalam berlakon, mereka tetap mencari peluang ‘mengenakan’ sesama sendiri.

Tidak lupa penggunaan teknologi terkini yang memaparkan adegan seolah-olah Awie dan dua rakannya berkonvoi di lebuh raya juga menarik dan membuatkan penonton bertepuk tangan.

Awie tahu nak ‘handle’ Zizan

Awie melahirkan kepuasannya terbabit dalam Bikers Kental dan berjanji menampilkan persembahan yang lebih baik pada malam berikutnya.

“Setiap hari persembahan kami akan berubah dan kami berjanji apa yang nak ditampilkan itu sampai ke jiwa penonton. Berkenaan dengan ‘permainan’ Zizan pula, saya sudah biasa bercampur dengan peserta Maharaja Lawak Mega termasuk Zizan. Ada cara untuk ‘handle’ kenakalan dia di pentas.

“Sebenarnya sikap ‘hyper’ dia bagus untuk selamatkan keadaan. Saya hanya ikut saja kerana yang penting persembahan kami menghiburkan peminat,” katanya yang menganggap Nazrul berjaya menjalankan tugas dengan baik.

Zizan pula menyifatkan persembahan pertama mereka berjaya. Bahkan dia menerima banyak komen positif yang memuji termasuk daripada ibunya sendiri.

“Saya bawa karakter filem ‘masuk’ dalam teater ini. Ada sebahagian dialog saya ikut skrip dan ada yang ditambah, tetapi saya tetap tak boleh lari daripada inti pati jalan cerita. Apa yang penting kami nak hiburkan penonton,” katanya.

Bagi Nazrul, dia puas kerana niatnya untuk menghasilkan ‘tribute’ kepada rakan ‘biker’ menjadi kenyataan.

“Saya akur dengan beberapa kelemahan teater ini. Kalau ubah kerana ‘duration’ mungkin saya boleh buat, tetapi bukan dari sudut penceritaan kerana ia sudah menarik. Pada saya kejayaan teater ini sudah terlihat apabila Bikers Kental menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Awie dan Zizan. Selebihnya saya berserah kepada penonton untuk datang menonton,” katanya.

Teater terbitan MS Integrated Sdn Bhd dan Califwork Studios ini mendapat sokongan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2016 @ 5:01 AM