AZIAN.
AZIAN.
Oleh Rudy Imran Shamsudin


Di saat namanya kembali meniti di bibir peminat selepas menyartai Gegar Vaganza 2 (GV2), tiba-tiba penyanyi 80-an, Azian Mazwan Safuan, 41, dikejutkan dengan ujian apabila anaknya ditahan pihak berkuasa akhir Di­sember lalu.

Anak lelakinya berusia 16 tahun itu ditangkap polis bersama seorang rakan berusia 18 tahun. Mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya bulan lalu di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan perbicaraan ditetapkan Februari ini.

Penyanyi popular dengan lagu Bukan Belas Bukan Simpati itu tidak menafikan perkara itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada kerjaya seninya yang kembali berputik selepas GV2.

Azian yang turut menjayakan konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya baru-baru ini berkata, kebanyakan berita disiarkan di akhbar turut mengaitkan namanya.

Ditemui sebaik saja selesai menjayakan konsert itu baru-baru ini, Azian enggan mengulas mengenainya memandangkan ia masih lagi dalam siasatan.

“Saya tidak tahu bagaimana kedudukan kes membabitkan anak saya sama ada dia diperangkap atau sememangnya dia bersalah.

“Perkara masih dalam siasatan dan saya tidak boleh memberi sebarang kenyataan mengenainya,” katanya.

Ibu tujuh anak itu menegaskan, sejak dulu lagi dia memberi pesan kepada anak supaya menjaga tingkah laku dan berhati-hati dengan siapa mereka bercampur.

“Masa menyertai GV2 lagi saya mengingatkan semua anak bahawa mereka perlu menjaga perlakuan dan perangai.

“Saya tahu apabila menyertai program realiti seperti Gegar Vaganza yang mempunyai ramai penonton, perhatian lebih akan diberikan bukan saja kepada saya sebagai penyanyi tetapi juga ahli keluarga. Saya tidak sangka pula perkara seperti ini berlaku,” katanya.

Azian menganggap penahanan anaknya menjadi isu disebabkan dia dikenali umum.

Katanya, kalau hendak diikutkan anak orang lain juga ada masalah tetapi perkara itu tidak digembar-gemburkan kerana ibu bapa mereka bukan orang dikenali.

“Dalam situasi saya pula berbeza. Tambah pula perkara membabitkan anak berlaku pada saat nama saya menjadi tumpuan selepas menyertai Gegar Vaganza. Bagaimanapun, saya cuba menerima semua ini dengan tenang,” katanya.

Katanya, dia tidak terlalu memikirkan penahanan anaknya dan menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa.

“Belum tentu lagi anak saya bersalah. Adakah dia dianiaya? Saya bagaimanapun menerima apa saja bakal diputuskan pihak mahkamah nanti dengan reda,” katanya.

Lebih 20 tahun menyepi, bekas finalis Bintang RTM 1986 ini menyahut cabaran menyertai GV2 tahun lalu selepas mendapat restu anak-anak, Mohammad Ashraf, 19, Nur Athirah Hanim, 18, Mohammad Azrail, 17, Mohammad Aqil, 15, Mohammad Amil, 13, Mohammad Adib, 10, dan Anastasia Ayra, 8.

Sepanjang kariernya, Azian pernah merakamkan album Erti Budi (1987), Bukan Belas Bukan Simpati (1988) dan yang terakhir, Impian pada 1991 dengan lagu popular, Rumah Kecil Tiang Seribu dan Cinta Embunan Pagi.

Azian juga pernah bertanding di peringkat akhir Muzik-Muzik pada 1993 menerusi lagu Rumah Kecil Tiang Seribu.

Selepas berkahwin dengan Mohd Ahra Zubir pada 1994, Azian mengundur diri dari bidang seni untuk menumpukan perhatian kepada keluarga.

Azian tidak menafikan sejak membabitkan diri dalam GV2, dia banyak menerima tawaran mengadakan persembahan. Walaupun begitu, dia tidak pernah merancang untuk meninggalkan kerja tetap.

“Setakat ini kebanyakan tawaran menyanyi datang pada hari cuti, jadi saya tidak ada masalah untuk membahagikan masa dengan kerja tetap sebagai pegawai kerajaan dan penyanyi,” katanya.

Dalam konsert yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 17 Januari lalu, Azian tampil mendendangkan lagu popularnya, Bukan Belas Bukan Simpati.

Azian turut berduet dengan juara GV2, Siti Nordiana menyanyikan lagu popular Datuk Siti Nuhaliza dan Noraniza Idris, Hati Kama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:04 AM