PELAJAR sebuah sekolah rendah di Palembang, Sumatera Selatan, mengaminkan doa selepas mengadakan solat hajat memohon jerebu yang melanda wilayah itu berakhir.
PELAJAR sebuah sekolah rendah di Palembang, Sumatera Selatan, mengaminkan doa selepas mengadakan solat hajat memohon jerebu yang melanda wilayah itu berakhir.
AFP

Jakarta: Polis menahan tujuh pekerja syarikat perladangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pembakaran hutan di kawasan pertanian dan menyebabkan jerebu melanda negara itu.

Ketua polis Indonesia, Badrodin Haiti berkata, semua mereka ditahan di Sumatera kelmarin, kawasan kebakaran hutan paling teruk terjejas akibat aktiviti pembersihan tanah.

Katanya, sebahagian suspek yang ditahan adalah eksekutif di syarikat perladangan, tetapi beliau tidak mendedahkan nama firma berkenaan.

Kesemua mereka berdepan hukuman penjara 15 tahun dan denda sekiranya didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kebakaran hutan.

Kebakaran hutan itu bukan sahaja menyebabkan jerebu tebal di beberapa wilayah Indonesia, tetapi turut menjejaskan negara jiran iaitu Malaysia dan Singapura.

“Arahan presiden adalah jelas, ambil tindakan undang-undang yang tegas supaya kejadian ini tidak berlaku lagi pada tahun depan,” katanya.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) sebelum ini berikrar untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat dan individu yang menyebabkan kebakaran.

Beratus-ratus anggota polis tambahan dan pegawai penyiasat dihantar ke kawasan kebakaran bagi memburu mereka yang bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 7:45 AM