PERSEMBAHAN daripada Altimet.
PERSEMBAHAN daripada Altimet.
VOKAL Resh mengagumkan sewaktu mendendangkan Half The Man.
VOKAL Resh mengagumkan sewaktu mendendangkan Half The Man.
ELIZABETH (kiri) ketika ditemu bual pada anugerah  MET 10.
ELIZABETH (kiri) ketika ditemu bual pada anugerah MET 10.
DE Fam unggul dengan memenangi dua trofi.
DE Fam unggul dengan memenangi dua trofi.
Oleh Georgie Joseph


Kumpulan wanita De Fam membuka lembaran 2016 dengan kemenangan indah membolot dua daripada lapan trofi di Anugerah Top 10 Inggeris Malaysia (MET 10), kelmarin. Menang Lagu Terbaik, kumpulan itu turut dianugerahkan Artis Baru Meledak.

Tidak dinafikan, kumpulan dianggotai Azira Shafinaz, Liana Sophia dan Manggis itu menempa populariti luar biasa selepas tampil dengan single pertama, Supergirls. Artis naungan Tune Studios itu sekali gus menggegarkan industri tempatan.

Bagaimanapun, dalam muzik Inggeris tempatan sendiri, mereka masih baru berbanding nama handalan lain yang dicalonkan pada MET 10 edisi kali ini. Disebabkan itu, anggota De Fam mengakui sangat terkejut apabila menang Lagu Terbaik.

“Terus terang, kami meletakkan sasaran sendiri untuk MET 10 tahun ini, namun, sangat tidak sangka memenangi dua kategori terutama Lagu Terbaik. Bagi kami saingan dalam kategori itu sangat sengit dan banyak lagu lain lebih kuat.

“Kami sejujurnya terharu apabila mendapat kepercayaan daripada peminat dan menerima trofi berkenaan. Ia bermakna mereka sebenarnya menghargai keras kami selama ini,” kata mereka.

Pada acara yang dilangsungkan di pusat beli-belah KWC, Kuala Lumpur itu, De Fam tidak ketinggalan memperdengarkan lagu baru mereka, With You. Menurut mereka, persiapan lebih dibuat demi persembahan terbabit.

“Ya, untuk MET 10, kami mencurahkan lebih usaha terutama daripada segi koreografi. Lagipun lagu itu baru dan belum selalu dipersembahkan,” kata Azira.

Bukan saja menampilkan artis masa kini, MET 10 turut dihangatkan dengan persembahan kumpulan rock alternatif, OAG. Ternyata, kemunculan mereka mendapat sambutan luar biasa dan mengubat kerinduan.

OAG juga tidak ketinggalan dianugerahkan trofi Tune Talk Hall of Fame berdasarkan pencapaian membanggakan mereka hingga ke hari ini. Band berkenaan sempat mempersembahkan lagu popular mereka, 60’s TV dengan aksi bertenaga.

Sudah 15 tahun diadakan, yang pasti acara tahun ini meninggalkan impak tersendiri dengan berjaya menggumpulkan ramai nama popular dan penyanyi generasi baru.

Seiring pasaran kini, kemenangan pada malam itu banyak berpihak kepada penyanyi baru.

Barangkali dalam pasaran Melayu, nama OJ Law, Jin Hackman dan Tres Empre masih kabur, namun terbukti muzik mereka jadi ikutan.

OJ Law yang popular menerusi lagu Introverts berjaya membawa pulang trofi Artis Lelaki Terbaik. Manakala, Jin Hackman menerima anugerah Muzik Video Terbaik dan Tres Empre menang Band/Kumpulan Terbaik.

Penyanyi yang popular dengan lagu Knock Knock, Elizabeth Tan juga berjaya membuktikan namanya seiring kuat dalam pasaran Melayu dan inggeris tempatan. Penyanyi berkenaan dipilih peminat memenangi trofi Artis Wanita Terbaik.

Yang pasti, kehangatan MET 10 kali ini semestinya terletak pada persembahan setiap penghibur pada malam itu. Pembukaan saja, pentas sudah bergegar dengan kemunculan SonaOne, Joe Flizzow, dan Altimet.

Beberapa pemenang pada acara itu seperti OJ Law, Jin Hackman, Kyoto Protocol, dan De Fam tampil dengan tenaga tersendiri sewaktu persembahan mereka.

Begitu juga penyanyi Resh yang tampil dengan penjenamaan baru mengagumkan penonton dengan vokalnya menyanyikan lagu Half The Man.

SENARAI PEMENANG ANUGERAH MET 10

- Artis Lelaki Terbaik: OJ Law

- Artis Wanita Terbaik: Elizabeth Tan

- Band/Kumpulan Terbaik: Tres Empre

- Muzik Video Terbaik: Banana - Jin Hackman

- Artis Baru Meledak: De Fam

- Penghibur Secara Langsung Terbaik: Kyoto Protocol

- Lagu Terbaik: Supergirls - De Fam

- Tune Talk Hall of Fame: OAG

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2016 @ 5:02 AM