LEO diapit pemenang Oscar, Mark (kiri), Brie (dua dari kiri) dan Alicia.
LEO diapit pemenang Oscar, Mark (kiri), Brie (dua dari kiri) dan Alicia.
SPOTLIGHT diangkat Filem Terbaik.
SPOTLIGHT diangkat Filem Terbaik.
BRIE Larson menang untuk pencalonan pertamanya menerusi filem Room.
BRIE Larson menang untuk pencalonan pertamanya menerusi filem Room.
ALEJANDRO bersama trofi Pengarah Terbaik
ALEJANDRO bersama trofi Pengarah Terbaik
Oleh Georgie Joseph


Selepas 22 tahun menanti, akhirnya Leonardo DiCaprio berjaya menggenggam trofi sulungnya di Academy Awards ke-88 atau Oscars 2016 di Dolby Theatre, Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) apabila dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan mengagumkan dalam filem The Revenant.

Semestinya, ia berita paling dinantikan bukan saja untuk dirinya, tetapi semua peminatnya.

Leonardo atau Leo bukan nama asing dalam Oscars dan ini adalah pencalonannya yang keenam sejak 1993.

Disebabkan rezeki tidak pernah berpihak kepadanya, Leo turut menjadi bahan ejekan setiap kali menjelangnya Oscars apabila dia dicalonkan.

Apa yang pasti, penantiannya tahun ini berbaloi apabila berjaya menewaskan calon hebat lain iaitu Matt Damon menerusi filem The Martian, Bryan Cranston (Trumbo), Michael Fassbender (Steve Jobs) dan Eddie Redmayne (The Danish Girl).

Keberkesanan lakonannya yang bertutur pelbagai bahasa penduduk peribumi Amerika dan kesakitannya ketika dicakar beruang membuatkan penonton turut merasainya ketika menonton The Revenant nyata mengubah nasib Leo.

Bagi meraikan kemenangan paling dinantikan itu, dia sempat berucap lebih dua minit dan menyifatkan trofi berkenaan milik semua.

“The Revenant adalah hasil daripada kerja tidak mengenal penat lelah setiap pelakon lain serta kru hebat dalam filem itu. Pertama, terima kasih kepada Tom Hardy, bakat kamu memang tiada tandingan dan buat Alejandro, kamu luar biasa.

“Terima kasih kepada semua yang mengesan bakat saya, mengajar seni senimatik, membantu mengemudi hala tuju saya dalam industri, ibu bapa saya dan rakan tercinta,” katanya.

Selain Leo, turut berlakon dalam filem arahan Alejandro Inarritu ini ialah Tom Hardy, Domhnall Gleeson dan Will Poulter.

Leo yang kini sangat dedikasi memperjuangkan hak kemanusiaan juga turut mengingatkan kepada semua mengenai isu bahaya dihadapi seluruh dunia. Mengaitkannya dengan The Revenant, dia harap semua bangkit menyokong perjuangan kemanusiaan yang ada.

“The Revenant simbol perhubungan istimewa kita dengan alam sekitar dan 2015 antara tahun menyedihkan apabila berlaku perubahan iklim serta berterusan sehingga sekarang. Ia ancaman yang sangat menakutkan terhadap semua spesies.

“Inilah masa untuk kita berhenti untuk berlengah. Kita kena menyokong semua pemimpin seluruh dunia yang bukan bercakap untuk syarikat gergasi, sebaliknya mengenai kemanusiaan, Orang Asli, berbilion manusia kurang bernasib baik dan kanak-kanak.

“Jangan ambil remeh mengenai planet kita seperti mana saya tidak mengambil mudah kemenangan saya malam ini,” katanya.

Lebih manis, kemenangan itu turut dikongsi bersama pengarah The Revenant, Alejandro apabila dipilih sebagai Pengarah Terbaik.

Kemenangannya memang sudah dijangka memandangkan momentumnya konsisten memenangi kategori sama dalam pelbagai acara anugerah lain.

Turut menepati ramalan, filem berkisar kewartawanan yang diadaptasi daripada kisah benar berjudul Spotlight.

Filem arahan Tom McCarthy itu menjadi naskhah paling diperkatakan yang merungkai isu penderaan seksual dalam kalangan paderi.

Walaupun gagal menggondol trofi panas, filem sains fiksyen terhebat alaf ini arahan George Miller iaitu Mad Max: Fury Road pula pulang dengan kemenangan besar.

Filem berkenaan menang enam trofi iaitu Suntingan Bunyi Terbaik, Suntingan Filem Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik, Adunan Bunyi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik dan Mekap Terbaik.

Chris Rock nafi wujud isu perkauman di Oscars 2016

Kontroversi turut melanda penganjuran Oscars tahun ini apabila tiada calon pelakon kulit hitam memenangi mana-mana kategori.

Senario itu turut mengundang kecaman daripada banyak pihak yang menyifatkan Oscars tahun ini tidak adil.

Chris Rock yang bertindak sebagai pengacara turut menjadikan kontroversi itu sebagai bahan utama pengacaraannya.

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju dengan kritikan itu dan menyifatkan pemilihannya sebagai pengacara bukti tiada unsur perkauman.

“Ramai mengatakan anugerah ini bersikap perkauman dan acara ini untuk pelakon kulit putih saja. Ini adalah edisi yang ke-88 dan kenapa baru sekarang wujud protes sedangkan mungkin lebih daripada 71 edisi terdahulu tidak menyenaraikan calon kulit hitam?

“Saya sendiri tidak mungkin berdiri di sini jika betul Oscars lebih memihak kepada pelakon kulit putih saja tahun ini,” katanya.

Turut menampilkan persembahan selingan sebagai hiburan, Lady Gaga yang mendendangkan lagu Till It Happens To You berjaya menyentuh emosi penonton dengan nyanyian berkesannya sambil bermain piano.

Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden turut memberi penghormatan mempersilakan Gaga membuat persembahan itu.

Terdahulu, Biden sempat berucap mengenai perjuangan memberikan hak sama rata buat lelaki dan wanita.

Dicalonkan untuk kategori Lagu Asli Terbaik, Gaga bagaimanapun tewas di tangan penyanyi United Kingdom, Sam Smith menerusi lagu Writing’s on the Wall iaitu lagu tema filem James Bond: Spectre.

PEMENANG OSCARS 2016

- Filem Terbaik: Spotlight

- Pelakon Lelaki Terbaik: Leonardo DiCaprio (The Revenant)

- Pelakon Wanita Terbaik: Brie Larson (Room)

- Pengarah Terbaik: Alejandro Gonzalez Innaritu (The Revenant)

- Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Mark Rylance (Bridge of Spies)

- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Alicia Vikander (The Danish Girl)

- Filem Bahasa Asing Terbaik: Son of Saul (Laszlo Nemes)

- Lagu Asli Terbaik: Writing’s on the Wall (Sam Smith, Jimmy Napes)

- Lakon Layar Asli Terbaik: Spotlight (Tom McCarthy, Josh Singer)

- Sinematografi Terbaik: The Revenant (Emmanuel Lubezki)

- Adaptasi Lakon Layar Terbaik: The Big Short (Adam Mckay, Charles Randolph)

- Efek Visual Terbaik: Ex Machina (Andrew Whitehurst, Sara Bennett, Paul Norris, Mark William Ardington)

- Filem Dokumentari Terbaik: Amy (Asif Kapadia, James Gay-Rees)

- Suntingan Bunyi Terbaik: Mad Max: Fury Road (David White, Mark Mangini)

- Suntingan Filem Terbaik: Mad Max: Fury Road (Margaret Sixel)

- Filem Animasi Terbaik: Inside Out (Pete Docter, Jonas Rivera)

- Rekaan Kostum Terbaik: Mad Max: Fury Road (Jenny Beavan)

- Filem Animasi Pendek Terbaik: Bear Story (Gabriel Osorio, Pato Escala)

- Adunan Bunyi Terbaik: Mad Max: Fury Road (Ben Osmo, Chris Jenkins, Gregg Rudloff)

- Rekaan Produksi Terbaik: Mad Max: Fury Road (Lisa Thompson, Colin Gibson)

- Dokumentari Pendek Terbaik: A Girl in the River - The Price of Forgiveness (Sharmeen Obaid-Chinoy)

- Filem Aksi Secara Langsung Pendek Terbaik: Stutterer (Benjamin Cleary, Serena Armitage)

- Skor Muzik Asli Terbaik: Hateful Eight (Ennio Morricone)

- Mekap Terbaik: Mad Max: Fury Road (Damien Martin, Elka Wardega, Lesley Vanderwalt)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 10:40 AM