Lancar single duet dalam usaha kembali aktif menyanyi.
Lancar single duet dalam usaha kembali aktif menyanyi.
Oleh Norhayati Nordin


Selepas melalui pelbagai kisah hitam dalam hidupnya, Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 36, sama sekali tidak pernah berputus asa untuk terus aktif dalam bidang seni.

Bahkan, bekas vokalis kumpulan Exists ini cukup gembira dan bersyukur apabila kemunculan semulanya di persada hiburan tanah air masih diterima baik masyarakat.

Mamat yang kini bertarung merebut RM100,000 dalam pentas persaingan Gegar Vaganza terbitan Astro berkata, soko-ngan peminat itu menunjukkan dia bertuah.

"Tidak semua artis yang membuat kemunculan semula diterima peminat dengan hati terbuka. Namun, saya bertuah kerana masih mendapat peluang itu.

"Kini, matlamat saya untuk berusaha bersung-guh-sungguh membuktikan kepada peminat bahawa kemunculan semula dilakukan masih relevan.

"Ditambah, tekad saya mahu mengubat rindu peminat menerusi lagu baru yang akan dikeluarkan tidak lama lagi," katanya.

Ditemui pada pelantikannya sebagai duta kembara produk kesihatan dan kecantikan Q Life, baru-baru ini, Mamat berkata, untuk permulaan dia me-ngambil pendekatan muncul duet bersama Ikka Razman.

Menerusi gandingan duet itu, mereka muncul dengan lagu Keluhan Cinta ciptaan Mie Kuarters dan Man Ikhman.

Mamat berkata, meskipun pasangan duetnya, Ikka masih baru dalam bidang nyanyian, namun mereka mampu mewujudkan keserasian.

"Saya amat seronok apabila mendapat peluang merakamkan lagu Keluhan Cinta ini. Semestinya lagu ini menjadi taruhan baru daripada saya buat peminat.

"Apatah lagi, sebagai permulaan semula saya mengatur langkah dalam bidang nyanyian ini adalah amat wajar muncul dengan single," katanya.

Menurut Mamat, impiannya untuk muncul dengan album baru tetap ada, tetapi biarlah semua itu dibuat secara perancangan dan tidak terburu-buru.

Mamat yang pernah popular dengan lagu seperti Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara dan Salju Di Danau Rindu ini berkata, dia selesa bermula secara perlahan-lahan mengikut apa yang sudah diatur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:00 AM