PEMANDANGAN Menara Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.
PEMANDANGAN Menara Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memanggil tiga orang saksi bagi membantu siasatan berhubung isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

SPRM dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan siasatan itu dijalankan selepas mendapati terdapat kecurigaan dalam pemindahan hak milik pengurusan bangunan ikonik itu.

"SPRM menyiasat elemen rasuah penjualan 100 peratus saham milik anak syarikat Telekom Malaysia (TM) kepada sebuah syarikat dalam isu pemindahan hak milik pengurusan Menara KL.

"SPRM menyiasat sama ada wujudnya elemen rasuah dalam penjualan saham di dalam Syarikat Menara KL Sdn Bhd (MKLSB) kepada Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) pada Oktober 2022.

"Setakat ini, SPRM sudah memanggil tiga orang saksi dan mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak-pihak berkaitan untuk diteliti.

"SPRM akan menjalankan siasatan secara terperinci dan profesional daripada semua sudut berkaitan isu ini," katanya.

Difahamkan, ketika ini siasatan berkenaan adalah masih berada dalam di peringkat pembukaan kertas siasatan lagi dan tindakan selanjutnya oleh SPRM akan menyusul selepas ini.

Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular baru-baru ini di media sosial apabila ramai mempersoalkan keputusan TM melalui anak syarikatnya MKLSB, memindahkan pemilikan penuh MKLSB kepada oleh syarikat Hydroshoppe pada Oktober lalu.

Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai 'cash cow' dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

Pengguna media itu turut membangkitkan kaitan dengan seorang bekas menteri.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kdilapor berkata, beliau memandang serius isu yang dibangkitkan di media sosial dan akan meneliti isu pengambilalihan pengurusan Menara KL daripada TM oleh syarikat Hydroshoppe.

Beliau turut mengesahkan, sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian pada 14 Disember lalu dan akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada TM pada 3 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 7:28 PM