Oleh Mohd Hassan Adli Yahya

Maulidur rasul hampir tiga minggu berlalu, namun tanggal keramat 12 Rabiulawal pastinya memahat kerinduan kita terhadap junjungan Baginda Nabi SAW yang lahir pada tarikh berkenaan.

Saya tergerak untuk berkongsi kembali beberapa sirah Nabi dalam perjalanan baginda menyebarkan dakwah Islam yang penuh kesukaran.

Teringat pula saya ketika menziarahi kota suci Makkah beberapa tahun dahulu. Tergambar lagi di fikiran saya bagaimana keadaan struktur muka bumi bandar suci ini yang berlatarbelakangkan bukit batu yang keras.

Mutawwif (ustaz) yang membimbing saya di sana menyatakan, keadaan Makkah yang dipenuhi bukit batu yang keras menggambarkan betapa kerasnya hati penduduk Makkah pada ketika itu untuk menerima dakwah baginda SAW.

Kata ustaz lagi, patutlah baginda SAW diutuskan kepada penduduk Makkah supaya Islam itu terus berkembang ke seluruh dunia. Sambil berseloroh ustaz berkata, jika Rasul itu diutus di negara kita, pasti dakwah itu sukar untuk berkembang.

Yalah, orang Melayukan sifat–nya lembut, mudah bertolak ansur dan senang berurusan. Berbeza benar dengan kebanyakan orang Arab Makkah yang sifatnya keras, degil dan tegas.

Pastinya sifat sebegini mendorong baginda SAW menjadi lebih cekal dan bermotivasi menghadapi penolakan dan tentangan dalam menjalankan misi dakwah baginda.

Antara yang terawal mendapat dakwah daripada baginda SAW adalah bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Talib bin Abdul Mutallib. Abu Talib adalah bapa saudara yang paling disayangi oleh baginda, begitu juga Abu Talib yang sangat menyayangi baginda hingga seringkali mempertahankan Baginda SAW ketika baginda berdepan dengan pelbagai ancaman dari segenap pelusuk.

Abu Talib menggalas tanggungjawab menjaga Nabi SAW selepas kewafatan datuknya Abdul Mutallib. Abu Talib perwatakannya lembut, beliau antara pembesar yang disegani masyarakat pada waktu itu.

Tidak hairanlah beliau sering menggunakan pengaruhnya untuk melindungi Nabi daripada ancaman orang yang membenci Nabi ketika itu.

Sayangnya, di dalam kelembutan Abu Talib, hatinya masih terlalu keras untuk mengucapkan kalimah syahadah.

Pada saat menjelang kematiannya, Nabi dengan penuh berharap membisikkan kalimah syahadah supaya beliau mengikut. Saat ini dirakamkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Wahai pakcik! Katakan Laa Ilaaha Ilallah, satu ucapan yang aku akan menjadi saksi untuk engkau dengannya di sisi Allah.”

Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah berkata: “Wahai Abu Talib! Adakah engkau sudah benci kepada agama ‘Abd al-Muttalib?” Begitulah Rasulullah SAW terus mengemukakan kalimah Laa Ilaaha Ilallah kepadanya dan dia pula mengulangi ucapan tadi sehingga Abu Talib berkata di akhir ucapannya ialah dia berada di atas agama Abd al-Muttalib.

Matinya Abu Talib dalam kekufuran. Abu Talib tidak mahu mengucap kerana bimbang beliau akan dicela dan dikutuk oleh kaum Musyrikin pada ketika itu. Namun begitu, atas rayuan Rasulullah, Abu Talib bakal menjadi penghuni neraka yang paling ringan azabnya iaitu dengan memakai terompah yang diperbuat daripada api yang akan membuatkan otaknya bergelegak.

Berlainan pula dengan kisah Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan yang begitu keras hatinya. Kebenciannya terhadap Islam adalah sejak awal kemunculan Baginda SAW lagi.

Kebencian itu semakin bertambah selepas Perang Badar apabila beliau berdendam dengan pembunuh ayah, bapa saudara serta saudara lelakinya hing­gakan beliau bernazar untuk mengunyah jantung orang yang membunuh itu jika dia dapat membunuhnya.

Maka pada saat Perang Uhud, beliau mengupah seorang hamba abdi yang bernama Wahsyi untuk membunuh Saidina Hamzah. Maka apabila dia terlihat jasad Hamzah terbaring kaku, beliau lantas membelah dada Hamzah dan mengunyah jantungnya.

Akibat peristiwa ini, beliau digelar si pemakan hati.Beliau menjadi penentang yang kuat terhadap dakwah Nabi SAW. Ketegarannya untuk memamah hati manusia pasti menggambarkan bagaimana bencinya dia kepada Islam.

Namun kerasnya hati Hindun akhirnya lembut juga dengan dakwah baginda SAW. Beliau akhirnya menerima Islam dan menjadi orang yang banyak mendokong perjuangan Nabi dalam menyebarkan dakwah baginda SAW.

Di dalam surah Al-Qasas ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih me­ngetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”

Benarlah, hidayah itu adalah hak milik mutlak Allah SWT. Tiada siapa yang berhak memberikan hidayah kepada manusia hatta Rasulullah SAW sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 12:10 AM