ANTARA individu yang ditahan. FOTO ihsan Polis
ANTARA individu yang ditahan. FOTO ihsan Polis
Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Lapan belas orang termasuk tiga pelanggan ditahan di tiga premis rumah urut dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Maksiat dan Perjudian D7 Bukit Aman di sekitar daerah ini, kira-kira 10 malam tadi.

Dalam serbuan itu polis menahan 15 warga asing dari Vietnam dan Indonesia berusia antara 20-an hingga 30-an yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Datuk Roslee Chik berkata, semua premis berkenaan beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah dan menggunakan premis pusat urutan refleksologi untuk tujuan pelacuran.

"Lokasi serbuan adalah di Sri Muda dan Kota Kemuning.

"Hasil operasi mendapati bayaran RM160 dikenakan untuk sekali khidmat seks," katanya.

Beliau berkata, satu daripada premis terbabit menyediakan kad untuk pelanggan di mana mereka yang datang ke premis itu sebanyak 10 kali, kunjungan berikutnya diberikan percuma.

Katanya, penyamaran dilakukan sebelum serbuan itu berikutan terdapat banyak kamera litar tertutup di sekitar premis.

Menurutnya, mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 3:42 PM