Kehadirannya sebagai penaja untuk program hiburan berskala besar sememangnya mencuri tumpuan ramai.

Kemunculan figura bernama Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau popular dengan panggilan Datuk Seri Vida ini juga memberi warna dalam industri hiburan tanah air.

Walaupun gaya dan perwatakan selamba, bersahaja serta ‘happy go lucky’ wanita ini turut mengundang kritikan banyak pihak, tetapi Vida mempunyai alasan tersendiri kenapa dia melakukannya.

Malah, itu juga sebagai salah-satu strategi menjayakan perniagaan produk kecantikan dan kesihatan wanita berasal dari Machang, Kelantan ini.

Terbaru, menerusi sebuah program TV, beliau berkongsi kisah menarik mengenai kejayaan dan kekayaan di samping sekali lagi mencuri tumpuan apabila menyatakan hasrat untuk menjadi penaja utama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan pasukan bola sepak Kelantan atau The Red Warriors.

Ikuti temu bual wartawan RAP, Syafil Syazwan Jefri (syafil.­[email protected]) bersama Vida.

RAP: Apa yang membuatkan anda tertarik untuk menaja program hiburan?

VIDA: Bagi saya, program hiburan ada kekuatannya. Selain ditonton pelbagai lapisan masyarakat, ia dapat membantu mempromosikan produk saya kepada pasaran yang lebih luas.

Antara program yang pernah saya taja ialah Anugerah Juara Lagu 29, Qu Puteh Bintang Bersama Bintang, Gegar Vaganza, Pertandingan Akhir Dikir Barat Peringkat Kebangsaan dan terbaru Anugerah Juara Lagu 30 dan Konsert Gegar Vaganza di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

Selepas ini, saya akan muncul dengan program travelog saya sendiri yang akan menampilkan lokasi menarik di beberapa negara Eropah.

RAP: Baru-baru ini, anda berkongsi mengenai kehidupan dan kekayaan anda di program TV. Tidakkah anda bimbang dengan keselamatan diri?

VIDA: Saya tidaklah berkongsi semua benda dalam program itu. Ada beberapa babak yang disunting dan saya pun tidak menunjukkan semua koleksi barangan berharga saya.

Lagipun, semua barangan itu saya simpan di bank kerana lebih selamat. Selain itu, saya juga mengumpul barangan kemas kerana kini dalam proses untuk membuka Kedai Emas, Permata dan Berlian Datuk Seri Vida dalam masa terdekat di Jerteh, Terengganu.

RAP: Apa maklum balas dan reaksi anda terima selepas program itu ditayangkan?

VIDA: Alhamdulillah, kebanyakannya reaksi positif. Saya pun tak sangka, jumlah tontonan video slot saya untuk program itu di Facebook mencecah 2 juta. Rata-rata mendoakan kesejahteraan saya dan saya juga mendoakan kesejahteraan mereka.

RAP: Bagaimana pula jika ada pihak menganggap anda hanya ingin menunjuk harta kekayaan?

VIDA: Saya bukan mahu menunjuk-nunjuk atau membangga diri, sebaliknya hanya berkongsi atas permintaan program itu. Saya pun sebenarnya terkejut apabila melihat semula koleksi barangan saya yang boleh tahan banyak.

Apabila produksi program itu meminta saya untuk berkongsi koleksi barangan saya, saya kumpul semula beg tangan, kasut, mahkota dan apabila dilihat semula, tanpa saya sedari memang banyak juga yang saya kumpul selama ini. Satu lagi saya ingin memberitahu penonton, tidak mustahil untuk kita berjaya dalam kehidupan sekiranya kita benar-benar komited dengan kerja lebih-lebih lagi usahawan seperti saya.

RAP: Kongsikan mengenai penajaan anda kepada KAFA dan pasukan The Red Warriors?

VIDA: Pada awalnya, saya kurang berminat sangat dengan bola sepak, tetapi sekarang rasanya saya sudah bersedia. Saya juga sudah berbincang dengan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dan meletakkan tiga syarat iaitu mengecat semula Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu dengan warna merah jambu, menukar nama pasukan Kelantan kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors dan menukar warna jersi pasukan bola sepak Kelantan kepada warna merah jambu.

RAP: Adakah syarat itu hanya sekadar di atas kertas atau anda benar-benar serius?

VIDA: Saya memang serius. Kalau buat sesuatu, saya akan melakukan dengan penuh jiwa. Komitmen saya kepada kerja adalah serius. Saya nampak potensi untuk pasukan bola sepak Kelantan pergi jauh adalah tinggi. Mungkin dengan penjenamaan ini, saya boleh membantu KAFA membawa pasukan ini sehingga ke peringkat lebih tinggi.

RAP: Apa yang membuatkan anda memilih untuk menukar warna stadium, jersi dan nama pasukan bola sepak itu?

VIDA: Seperti yang saya katakan, mereka memerlukan bantuan dan saya bersedia membantu menjadi penaja. Stadium adalah mercu tanda untuk sesebuah negeri dan negara. Kalau pelancong datang pun, mereka akan bergambar di stadium.

Lagipun, selepas banjir besar yang melanda Kelantan, stadium ini nampak uzur. Jadi, tidak salah sekiranya saya memberikan penampilan baru kepada stadium kesayangan itu.

Untuk nama baru dan jersi merah jambu pula, itu juga sesuai dengan penjenamaan produk saya. Jadi, selepas ini kita akan melihat pemain dengan jersi merah jambu menggelecek bola di tengah padang.

RAP: Bagaimana anda membiasakan diri daripada bergelar usahawan dan kini selebriti?

VIDA: Memang lain daripada sebelum ini. Sekarang, kalau saya ke mana-mana, orang ramai akan datang serbu saya. Tidak kira lelaki atau perempuan, mereka akan mengajak saya untuk bergambar bersama dan membuat ‘tagline’ serta gaya ‘Qu Puteh’ yang menjadi ‘trademark’.

RAP: Bagaimana anda mendapat idea mencipta ‘tagline’ yang melekat di hati masyarakat itu?

VIDA: Saya tidak mencipta ‘tagline’ itu secara sambil lewa. Sebelum menghasilkan ayat atau ‘kata-kata’ menarik, saya buat kajian terlebih dulu.

Untuk ‘tagline’ ‘Qu Puteh, Qu Puteh, Barulah Putih’ saja mengambil masa setahun kerana saya mengkaji terlebih dulu mengenai ‘human attitude’ dan ‘human interest’.

Mungkin nampak lucu pada awalnya, tetapi kalau sekadar kata-kata, tidak akan berkesan. Disebabkan itu, saya selitkan dengan penggayaan dan cara itu berkesan. Saya juga memilih ‘tagline’ yang boleh sampai terus kepada masyarakat sebab lebih mudah difahami dan menggambarkan produk yang saya jual.

RAP: Apakah harapan Datuk sempena 2016?

VIDA: Saya berharap peminat dan pelanggan saya bukan saja di Malaysia, tetapi juga Indonesia, Singapura dan Brunei terus menyokong saya. Hala tuju saya adalah sehingga ke peringkat antarabangsa, jadi saya menjadikan program hiburan dan terbaru bola sepak sebagai platrform. Saya juga berharap agar pasukan The Red Warriors dan peminat bola sepak memahami, menyokong dan yakin dengan produk saya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 8:16 AM